oleh Dr. Ghazali Din
Tapah – Sekolah Menengah Sains Tapak (SeSTa) mencipta rekod bersejarah apabila menjuarai Anugerah Lima Bintang untuk tiga tahun berturut-turut.
Pengetua, Nor Hashimah Abdul Samat berkata anugerah itu diterima pada 18 September 2026 lalu di Bumi Enstek, Kolej Tunku Kurshiah, Seremban sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Anugerah Kecemerlangan Sekoleh Berasrama Penuh Tahun 2026.
Katanya, kejayaan itu diraih berkat penerapan “Budaya Cemerlang” dalam menguruskan penginapan murid sehingga mencapai kejayaan tiga tahun berturut-turut iaitu 2024, 2025 dan 2026.
“Kejayaan ini hadir dalam persaingan yang sihat melibatkan 72 buah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang masing -masing memiliki kekuatan, keunggulan dan aspirasi untuk menang,” katanya.
Namun, katanya, di sebalik kejayaan yang terukir gemilang, ada tangan yang menghulur sokongan, ada hati yang teguh menyimpan harapan, dan ada insan yang terus melangkah tanpa kenal keletihan.
“Mereka ialah guru-guru khususnya para warden yang mendidik, membimbing, memantau dan memastikan setiap sudut kehidupan asrama bergerak menuju kecemerlangan, disiplin anak-anak turut menjadi tunjang kejayaan.
Beliau berkata anak-anak dibesarkan dalam suasana yang mematuhi peraturan, menjaga kebersihan, menghargai kemudahan dan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah sesuai dengan 10 rukun asrama SeSTa.
“Tidak dinafikan juga sokongan padu PIBG dan KSIB yang sentiasa bersama-sama pihak sekolah, menyumbang tenaga, idea, sokongan dan keprihatinan demi memastikan kebajikan serta kecemerlangan anak-anak terus terbela,” katanya.
Beliau berkata kejayaan dan kecemerlangan yang dicapai oleh SesTa, diyakini tidak lahir secara kebetulan, tetapi berkat kesungguhan Pengetua, Penolong Kanan HEM, semua guru dan Ahli Kumpulan Pelaksana (AKP) yang membantu mengukuhkan disiplin anak-anak.
Menurut Penolong Kanan (Hal Ehwal Murid), Murniza Md Jidin di SeSTa anak-anak diasuh dan dibimbing untuk belajar memimpin dengan yakin, mengurus masa dengan penuh disiplin, serta menghormati peraturan dengan penuh kesantunan, serta memikul tanggungjawab terhadap diri dan komuniti demi membina insan berwawasan.”
Penyelaras Sistem Rumah SeSTa, Mohammad Faizol Mohamed Khan berkata sokongan Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) ternyata berkesan dan berjaya membentuk disiplin anak-anak menjadi insan hebat dan luar biasa.
“Kebersamaan KSIB sangat penting dalam membentuk anak-anak menjadi insan yang belajar berdikari, walaupun jauh daripada keluarga kerana berpegang kepada sahabat bukan sekadar teman sebilik, tetapi insan yang bersama menguatkan langkah saat diri terjatuh dan bangkit.


Leave a Reply