Oleh Ahmad Safarman Dollah
KOTA BHARU – Seramai 90 murid Sekolah Kebangsaan Mentera, Kota Bharu menyemarakkan semangat patriotik menerusi Pertandingan Nyanyian Lagu Patriotik yang berlangsung di Dewan Tera Square, di sini.
Pertandingan yang diadakan sempena sambutan Bulan Kebangsaan itu melibatkan empat pasukan badan beruniform iaitu Pengakap, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM), Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS) dan Pergerakan Puteri Islam Malaysia (PPIM).
Pasukan Pengakap yang sinonim dengan gelaran ‘Si Baju Hijau’ mempersembahkan lagu Si Baju Hijau, manakala PBSM tampil dengan lagu Seruan Tentera. Pasukan TKRS pula menyampaikan lagu Malaysia Tanah Airku, sementara PPIM memilih lagu Malaysia.
Setiap pasukan bukan sahaja menampilkan kemantapan vokal, malah turut memberikan persembahan kreatif dengan menitikberatkan aspek kerjasama, keserasian dan gaya persembahan bagi menarik perhatian penonton.
Empat orang guru yang berpengalaman dalam bidang koir dilantik sebagai hakim untuk menilai persembahan peserta berdasarkan kriteria yang ditetapkan. Penilaian meliputi aspek vokal, kreativiti, kerjasama, keserasian serta gaya persembahan setiap pasukan.
Menurut Guru Besar SK Mentera, Ruzaini Ab Sattar, pertandingan berkenaan memberi peluang kepada murid untuk menyerlahkan bakat dalam bidang nyanyian, di samping membina keyakinan diri, disiplin dan semangat kerjasama dalam kalangan mereka.
Sementara itu, Penolong Kanan Kokurikulum SK Mentera, Zalifah Yusoff, berkata penglibatan murid dalam aktiviti seperti itu dapat menggalakkan mereka menyertai kegiatan kokurikulum secara aktif selain menjadikan sambutan Bulan Kebangsaan lebih bermakna dan menyeronokkan.
Menurutnya, persembahan secara berkumpulan juga memberi pengalaman kepada murid untuk belajar menghargai peranan setiap ahli serta bekerjasama bagi menghasilkan persembahan yang baik.


Leave a Reply