oleh Mohd Rizal Azman Rifin
MUADZAM SHAH – Seramai 70 pelajar Politeknik Muadzam Shah (PMS) menyertai Program Kapsul Intensif Tajwid Celik al-Quran sebagai usaha memperkukuh penguasaan bacaan al-Quran dalam kalangan pelajar selain melengkapkan pendidikan teknikal dan vokasional dengan penghayatan ilmu agama.
Program sehari anjuran Jabatan Pengajian Am (JPA) PMS itu turut melibatkan 20 fasilitator dengan penekanan kepada aspek makhraj huruf, hukum tajwid dan ketepatan sebutan.
Ketua Jabatan JPA PMS, Ustaz Badrul Hakimi Bastamam berkata program berkenaan dirangka secara intensif bagi membantu pelajar meningkatkan penguasaan bacaan al-Quran menerusi pendekatan pembelajaran yang lebih praktikal dan berfokus.
“Program ini memberikan penekanan kepada peningkatan penguasaan bacaan al-Quran khususnya dalam aspek makhraj huruf, hukum tajwid dan ketepatan sebutan,” katanya.
Antara pengisian program ialah Sesi Diagnostik dan Makhraj, Formula ‘Geng Dengung’ bagi membantu peserta menguasai hukum Nun Sakinah, Tanwin dan Mim Sakinah serta Klinik Talaqi Berkumpulan untuk menyemak dan memperbaiki bacaan surah-surah lazim.
Badrul Hakimi berkata pihaknya berharap peserta dapat menguasai ilmu yang dipelajari dan mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian sebagai bekalan sebelum melangkah ke alam pekerjaan.
Sementara itu, pensyarah JPA PMS, Ustazah Suraini Ripin berkata usaha memperbaiki bacaan al-Quran perlu dilakukan secara berterusan dan tidak seharusnya dihalang oleh rasa malu atau rendah diri.
Beliau berkata penguasaan ilmu agama dapat menjadi pelengkap kepada kemahiran TVET yang diperoleh pelajar sepanjang berada di politeknik.
“Tidak rugi untuk terus belajar kerana ilmu yang diperoleh merupakan aset bernilai untuk diri pelajar apabila keluar dari kampus dan bergelar graduan. Ilmu TVET diperoleh, ilmu agama dijunjung tinggi di jiwa,” katanya.
Menurut penganjur, program itu merupakan antara usaha PMS membentuk pelajar yang bukan sahaja mempunyai kemahiran teknikal dan kebolehpasaran tinggi, malah memiliki nilai agama dan sahsiah yang baik sebagai bakal tenaga teknokrat negara.


Leave a Reply