oleh Hanifah Nazira Mohamed Hanafiah
SHAH ALAM– Selepas lebih 38 tahun menabur bakti dalam dunia pendidikan, Guru Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alam Megah 2, Dr Hajah Rohaida Abdul Gani menamatkan perkhidmatannya dengan meninggalkan legasi tersendiri dalam pembangunan sahsiah dan kecemerlangan murid.
Beliau yang berkhidmat selama 12 tahun di SMK Alam Megah 2 berkata bidang pendidikan sudah sebati dalam dirinya sejak di bangku sekolah rendah dan kerjaya sebagai pendidik merupakan satu amanah serta tugas yang mulia.
“Semangat juang untuk menjadi seorang pendidik telah ditanam sejak saya di bangku sekolah rendah lagi. Bidang pendidikan seakan sudah sebati dalam diri ini. Saya suka mengajar dan berkongsi ilmu. Pekerjaan ini disifatkan sebagai tugas mulia.
“Saya bangga menjadi seorang guru dan jika diizinkan Allah SWT, saya mahu melihat kesemua yang pernah menjadi anak murid saya berjaya dalam kehidupan dan kerjaya masing-masing serta mampu memberi sumbangan kepada agama, bangsa, komuniti dan negara,” katanya.
Sepanjang berkhidmat di sekolah berkenaan, Dr Rohaida turut menjadi antara sumber rujukan warga pendidik dalam usaha meningkatkan prestasi sekolah meliputi aspek akademik, kokurikulum dan pembangunan sahsiah murid.
Selain membantu memantapkan sahsiah dan kemenjadian murid, beliau turut aktif melaksanakan pelbagai program di peringkat sekolah, daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
Antara pencapaian yang pernah diraih ialah membawa dua murid SMK Alam Megah 2 menyertai pertandingan kebudayaan di Georgia pada 2024 dan muncul sebagai juara keseluruhan.
Dalam masa sama, beliau turut memberi perhatian kepada pembangunan profesionalisme guru apabila dilantik sebagai Setiausaha Latihan Personel sekolah selama 11 tahun bermula 2015 sehingga bersara.
Sepanjang tempoh itu, pelbagai program latihan dan pembangunan profesionalisme guru dilaksanakan, termasuk program di dalam dan luar negara.
Pengalaman dan komitmen beliau dalam bidang pendidikan turut diiktiraf menerusi penerimaan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebanyak tiga kali sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Majlis jamuan perpisahan bagi meraikan persaraan beliau baru-baru ini berlangsung dalam suasana penuh harmoni dan mengharukan dengan kehadiran warga sekolah serta ahli keluarga terdekat.
Walaupun terkenal dengan ketegasan dan sikap profesional, keperibadian beliau yang berbudi bahasa dan mudah didekati menjadikan Dr Rohaida disenangi warga pendidik, kakitangan dan murid.
Mengimbau kehidupan selepas persaraan, Dr Rohaida berkata beliau tidak akan melupakan profesion perguruan yang telah menjadi sebahagian daripada kehidupannya.
“Biarpun sudah bersara tetapi saya tidak akan sesekali melupakan profesion sebagai seorang guru. Saya mahu menikmati persaraan dengan lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT, mencari ilmu agama, meluangkan masa bersama keluarga tercinta dan bercuti,” katanya.


Leave a Reply