Home / Penyelidikan / 335 penyelidik UniSZA diraikan menerusi Research & Innovation Awards 2025

335 penyelidik UniSZA diraikan menerusi Research & Innovation Awards 2025

oleh Editorial KampusKini

KUALA NERUS – Seramai 335 penyelidik Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) diraikan menerusi Research & Innovation Awards 2025 (RIA 2025) atas pencapaian dalam penyelidikan, inovasi dan kolaborasi berimpak sepanjang tahun lepas.

Naib Canselor UniSZA Prof. Datuk Dr. Fadzli Adam berkata pengiktirafan itu bukan sahaja menghargai kecemerlangan individu, malah mencerminkan sumbangan warga penyelidik dalam memperkukuh reputasi dan legasi universiti di peringkat nasional serta antarabangsa.

Beliau berkata UniSZA berjaya memperoleh RM11.2 juta geran penyelidikan sepanjang 2025, merangkumi geran nasional, antarabangsa, industri dan dalaman universiti.

“Pencapaian penyelidik bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan individu, malah menjadi sebahagian daripada legasi penting dalam membawa universiti terus maju, unggul dan dihormati,” katanya dalam kenyataan sempena RIA 2025.

Dalam usaha memperkukuh ekosistem penyelidikan, UniSZA turut melantik 85 Felo Penyelidik dan 16 Penyelidik Pasca Doktoral menerusi Pelan Strategik UniSZA (PSU) 2025: Penyelidikan Berimpak Tinggi.

Beliau berkata prestasi penyelidikan dan inovasi universiti turut diterjemahkan menerusi penjanaan RM1.2 juta melalui Dana Endowmen, Sumbangan dan Pendanaan Awam, selain menerima RM300,000 bagi pelaksanaan Biasiswa Pelajar Penyelidikan.

Dalam bidang inovasi dan pengkomersialan pula, UniSZA berjaya memperoleh enam paten, mendaftarkan 114 harta intelek serta menubuhkan tiga syarikat spin-off baharu, menjadikan keseluruhan syarikat spin-off universiti itu kepada tujuh.

RIA 2025 turut mengiktiraf pencapaian penyelidik pada peringkat individu, fakulti, Special Interest Group (SIG) dan Research Group (RG), selain Anugerah Fakulti Terbaik.

Antara pencapaian yang diberi pengiktirafan termasuk Anugerah Inovasi Penyelidikan dan Pengkomersialan yang diterima Prof. Dr. Wan Mohd Khairul Firdaus Wan Khairuldin dengan pendapatan kasar RM747,040, selain Anugerah Buku Terlaris dan Modul Terlaris.

Pada peringkat fakulti, Fakulti Informatik dan Komputeran (FIK) muncul Fakulti Terbaik bagi kategori Sains dan Teknologi (S&T), manakala Fakulti Perniagaan dan Pengurusan (FPP) bagi kategori Sains Sosial (SS).

Prof Fadzli berkata setiap pencapaian yang diraih merupakan hasil usaha berterusan, kerjasama dan pengorbanan warga penyelidik dalam memperkukuh budaya penyelidikan di UniSZA.

Beliau berharap pengiktirafan berkenaan terus menyemarakkan budaya penyelidikan yang cemerlang serta memastikan hasil penyelidikan dan inovasi memberi manfaat kepada universiti, masyarakat dan negara.

Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *