oleh Editorial KampusKini
KUALA NERUS – Seramai 327 graduan Politeknik Jeli Kelantan (PJK) menerima diploma masing-masing pada Sidang Keempat, Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Timur 2026 di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di sini hari ini.
Daripada jumlah itu, 213 graduan menerima Diploma Agroteknologi manakala 114 lagi Diploma Akuakultur selepas berjaya menamatkan pengajian dalam bidang masing-masing.
Majlis dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Teknologis Dr. Mohd Nor Azman Hassan.
Menurut beliau, kejayaan graduan tidak terhasil tanpa sokongan dan pengorbanan ibu bapa serta keluarga, selain dedikasi pensyarah dan warga institusi dalam membimbing mereka sepanjang tempoh pengajian.
Beliau berkata pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) kini menjadi antara laluan utama dalam membentuk kerjaya masa depan selaras dengan slogan “TVET Pilihan Utama Kerjaya” dan subtema “Kemahiran Dijulang, Masa Depan Gemilang”.
“Jangan hanya menjadi graduan yang mencari tempat dalam dunia. Jadilah graduan yang mencipta tempat untuk orang lain dalam dunia,” katanya.
Beliau turut menyeru graduan supaya tidak hanya berperanan sebagai pencari pekerjaan, sebaliknya memanfaatkan kemahiran dan ilmu yang diperoleh untuk mencipta peluang, menghasilkan penyelesaian serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Kejayaan 327 graduan PJK itu mencerminkan komitmen institusi dalam melahirkan graduan TVET yang kompeten, berdaya saing serta bersedia memenuhi keperluan industri dan menghadapi cabaran masa hadapan.
Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Politeknik Jeli Kelantan


Leave a Reply