Home / Sekolah / 269 murid SK Mentera meriahkan Hari Sukan Negara

269 murid SK Mentera meriahkan Hari Sukan Negara

Oleh Ahmad Safarman Dollah

Kota Bharu – Seramai 269 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Mentera, Kota Bharu menyertai pelbagai aktiviti sukaneka sempena sambutan Hari Sukan Negara yang berlangsung di padang sekolah itu, baru-baru ini.

Program bertemakan Bersama Sukan, Malaysia Lebih Cergas itu dianjurkan bagi menyemai budaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan murid sejak di bangku sekolah, selain memupuk semangat kesukanan, kerjasama dan perpaduan antara warga sekolah.

Program bermula pada pukul 7.45 pagi dengan aktiviti senamrobik yang disertai murid serta guru sebelum diteruskan dengan acara sukaneka pada pukul 8.20 pagi. Murid-murid hadir dengan memakai baju rumah sukan masing-masing, sekali gus menyemarakkan suasana program yang berlangsung dalam keadaan meriah.

Pelbagai acara menarik disediakan mengikut tahap persekolahan bagi memastikan setiap murid berpeluang mengambil bahagian dalam aktiviti fizikal yang bersesuaian dengan kemampuan masing-masing. Bagi murid prasekolah dan Tahun Satu, antara acara yang dipertandingkan ialah membawa bola pingpong menggunakan sudu, menjunjung pundi kacang serta membaling pundi kacang ke dalam baldi.

Aktiviti berkenaan bukan sahaja menguji keseimbangan badan dan koordinasi pergerakan, malah memerlukan peserta memberikan tumpuan serta mengawal pergerakan bagi menyelesaikan setiap tugasan. Sorakan rakan-rakan dan guru turut memberikan dorongan kepada peserta untuk meneruskan cabaran sehingga tamat.

Sementara itu, murid Tahun Dua dan Tiga menyertai acara menarik bola menggunakan gelung rotan mengelilingi kon, mengapit bola menggunakan belakang tubuh serta menyusun kon. Setiap permainan memerlukan ketangkasan, kesabaran dan kerjasama antara peserta bagi memastikan tugasan dapat diselesaikan dengan baik.

Bagi murid Tahun Empat pula, acara lari dalam guni, mengawal bola hoki mengelilingi kon dan sepakan penalti menjadi antara aktiviti yang menguji kecergasan serta kemahiran fizikal mereka. Murid Tahun Lima mengambil bahagian dalam permainan bola baling, manakala murid Tahun Enam berpeluang menunjukkan kebolehan masing-masing menerusi acara bola sepak.

Guru Besar SK Mentera, Rozanita Ismail, berkata penganjuran Hari Sukan Negara di peringkat sekolah penting untuk membudayakan amalan bersukan dan menggalakkan murid menjadikan aktiviti fizikal sebagai sebahagian daripada rutin harian mereka.

Menurut beliau, penglibatan murid dalam aktiviti sukan bukan sahaja membantu meningkatkan kecergasan dan kesihatan tubuh badan, malah dapat membentuk disiplin diri, meningkatkan keyakinan serta memupuk nilai kerjasama dan semangat berpasukan. Aktiviti seumpama itu juga memberi peluang kepada murid berinteraksi dalam suasana santai di luar bilik darjah.

Penolong Kanan Kokurikulum SK Mentera, Zalifah Yusoff, berkata program itu menjadi platform terbaik untuk mencungkil bakat murid dalam bidang sukan, selain menggalakkan mereka bergiat aktif dan membina semangat kesukanan melalui penyertaan dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan.

Penganjuran program itu diharap dapat meningkatkan kesedaran murid mengenai kepentingan menjaga kesihatan melalui aktiviti fizikal secara konsisten, di samping mengeratkan hubungan antara guru, murid dan ibu bapa.

Usaha berterusan membudayakan sukan di sekolah juga diharapkan dapat melahirkan generasi yang sihat, cergas, berdisiplin dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani serta intelek.

 

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Trending

🕌
Waktu Solat
Malaysia

Wilayah Persekutuan — Kuala Lumpur & Putrajaya


Imsak

05:39


Subuh

05:49


Syuruk

06:56


Zohor

13:00


Asar

16:19


Maghrib

18:59


Isyak

20:10

Sumber: e-Solat JAKIM