oleh Editorial KampusKini
KOTA BHARU– Seramai 246 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Mentera mendapat pendedahan kepada dunia penerbitan dan penulisan menerusi Program Majalah Dalam Kelas (MDK) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), baru-baru ini.
Program anjuran Unit Kurikulum SK Mentera itu merupakan penganjuran sulung dan melibatkan Panitia Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik serta Sejarah bagi memperkenalkan majalah terbitan DBP sebagai bahan bacaan dan sumber pembelajaran kepada murid serta guru.
Guru Besar SK Mentera Ruzaini Ab Sattar berkata program berkenaan menjadi pendekatan berkesan untuk mendekatkan murid dengan bahan bacaan berkualiti, selain memberi pendedahan awal mengenai proses penerbitan dan penulisan.
Sementara itu, Penolong Kanan Pentadbiran SK Mentera Zulkifli Hassan berkata bahan daripada majalah DBP boleh membantu guru mempelbagaikan kaedah, teknik dan bahan rujukan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Sesi bengkel dikendalikan Munsyi Dewan DBP Mohd Hazani Mahadi dengan bantuan Timbalan Pengarah Penerbitan dan Pemasaran DBP Wilayah Timur Nur Anis Salwani Awang Mohammad.
Murid turut menyertai aktiviti berkumpulan yang memberi ruang kepada mereka berinteraksi, berkongsi idea dan memahami penggunaan majalah sebagai sumber pembelajaran yang lebih menarik.
Penyelaras program Mohd Syahrizanyuzi Mhd Sa’ari berkata MDK bukan sahaja bertujuan memupuk budaya membaca, malah menggalakkan murid menghasilkan karya yang berpotensi diketengahkan untuk penerbitan majalah DBP.
“Program ini juga menjadi wadah untuk mengeratkan hubungan antara warga sekolah dengan pihak DBP,” katanya.
Dalam program sama, murid Tahap 1 berpeluang memilih bahan bacaan pilihan, selain mendapatkan novel terbitan guru Bahasa Melayu SK Mentera, Ahmad Safarman Dollah, antaranya Aku Budak Gunung, Jangan Patahkan Hatinya dan Cahaya Senjakala.
Program berkenaan diharap dapat meningkatkan minat membaca dan penguasaan bahasa murid, selain mencetuskan keberanian untuk menghasilkan karya sendiri yang berpotensi diterbitkan pada masa hadapan.


Leave a Reply