oleh Editorial KampusKini
KOTA BHARU – Seramai 24 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Mentera menyemarakkan semangat patriotisme menerusi Pertandingan Nyanyian Solo Hari Merdeka yang dianjurkan Unit Kokurikulum sekolah berkenaan, baru-baru ini.
Pertandingan itu melibatkan 13 peserta Tahap 1 dan 11 peserta Tahap 2 yang tampil mempersembahkan lagu bertemakan kemerdekaan dengan gaya serta kreativiti masing-masing.
Antara lagu yang dipersembahkan peserta Tahap 1 ialah Tanggal 31 dan Saya Anak Malaysia, manakala peserta Tahap 2 memilih lagu termasuk Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni, Warisan, Standing in the Eyes of the World dan Inilah Barisan Kita.
Guru Besar SK Mentera, Ruzaini Ab Sattar berkata penganjuran pertandingan berkenaan bukan sahaja menjadi platform mencungkil bakat seni murid, malah medium menyemai semangat patriotisme dalam suasana pembelajaran yang menyeronokkan.
Sementara itu, Penolong Kanan Kokurikulum SK Mentera, Zalifah Yusoff berkata penglibatan murid membuktikan semangat Bulan Kebangsaan boleh diterjemahkan menerusi kreativiti dan bakat yang dimiliki mereka.
Selain kebolehan vokal, peserta turut dinilai berdasarkan aspek sebutan, ekspresi, persembahan dan kostum oleh tiga guru yang berpengalaman dalam bidang masing-masing.
Salah seorang peserta, Muhammad Ammar Qayyum Mohd Hafizul Hafiz, 12, berkata persaingan dalam pertandingan itu sengit kerana setiap peserta berusaha memberikan persembahan terbaik.
“Pertandingan kali ini sangat sengit dan menguji diri saya. Apa yang penting, saya cuba buat yang terbaik dan memberikan persembahan yang terbaik,” katanya.
Program itu turut mendapat kerjasama Pusat Sumber Sekolah serta Panitia Sejarah, Muzik, Pendidikan Seni Visual (PSV), Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), Bahasa Melayu (BM) dan Bahasa Inggeris (BI).
Keputusan pertandingan dijadualkan diumumkan pada 20 September ini sempena Majlis Penutupan Bulan Kebangsaan SK Mentera.


Leave a Reply