oleh Mohd Rizal Azman Rifin
MUADZAM SHAH – Seramai 179 murid dan 10 guru dari lima sekolah sekitar Muadzam Shah dan Bukit Ibam mendapat pendedahan secara langsung terhadap bidang kejuruteraan mekanikal menerusi program MECHFA (Mechanical For All) anjuran Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM), Politeknik Muadzam Shah (PMS).
Program yang berlangsung selama dua hari pada 30 September hingga 1 Oktober lalu itu bertujuan menarik minat pelajar sekolah terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), khususnya dalam bidang kejuruteraan mekanikal.
Ketua JKM PMS, Dr. Nurul Afizah Adnan berkata sambutan terhadap program berkenaan amat menggalakkan apabila melibatkan penyertaan murid daripada lima sekolah sekitar kawasan berkenaan.
“Alhamdulillah, sambutan daripada murid-murid sekolah sekitar Muadzam Shah amat baik. Ini menunjukkan pengetahuan sedia ada mengenai TVET mendorong mereka untuk menyertai dan memanfaatkan program yang dianjurkan,” katanya.
Lima sekolah berkenaan ialah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Muadzam Shah dengan 40 murid dan dua guru, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Muadzam Jaya dengan 37 murid dan dua guru, serta SMK Muadzam Shah dengan 29 murid dan dua guru.
Turut menyertai program ialah SMK (Agama) Pahang dengan 37 murid dan tiga guru serta SM (Agama) Bukit Ibam yang menghantar 36 murid dan seorang guru.
Ketua Program Teknologi Pembuatan JKM PMS, Hanifah Abd Ghani berkata peserta diberi pendedahan terhadap proses kejuruteraan dan suasana pengajaran dan pembelajaran di JKM PMS menerusi aktiviti amali serta demonstrasi di bengkel dan makmal.
“Antara aktiviti yang dijalankan termasuk pameran PMS EV Racing Car, penggunaan mesin CNC, kimpalan, simulasi robot, percetakan 3D, litar elektrik dan Arduino, pneumatik serta komponen automotif.
“Pelajar turut didedahkan kepada operasi mesin larik, proses tuangan logam dan penggunaan perisian AutoCAD,” katanya.
Sementara itu, Pengetua SMK Muadzam Jaya, Fazili Ahmad berkata program berkenaan memberi gambaran sebenar kepada pelajar mengenai pembelajaran, teknologi dan kemahiran dalam bidang kejuruteraan mekanikal.
Beliau berkata program seumpama itu wajar diteruskan sebagai platform untuk mendekatkan pelajar sekolah dengan bidang TVET serta memberi peluang kepada mereka melihat sendiri kemudahan dan aktiviti pembelajaran di institusi TVET.
“Selama ini mereka hanya mengetahui tentang TVET melalui paparan media, tetapi menerusi program ini mereka dapat melihat sendiri pembelajaran dan teknologi yang digunakan dalam bidang berkenaan,” katanya.
Program MECHFA turut menyediakan aktiviti interaktif termasuk demonstrasi teknologi dan aktiviti praktikal bagi membantu peserta memahami aplikasi kejuruteraan mekanikal dalam situasi sebenar.


Leave a Reply