Home / Penyelidikan / 178 penyertaan meriahkan CITRA x UniCeL 2026 UniSZA

178 penyertaan meriahkan CITRA x UniCeL 2026 UniSZA

oleh Editorial KampusKini

Kuala Nerus– Sebanyak 178 penyertaan diterima bagi lima platform pertandingan inovasi pendidikan sempena penganjuran CITRA AKADEMIA x Karnival e-Pembelajaran UniSZA 2026 (CITRA x UniCeL 2026), sekali gus memperkukuh agenda inovasi pendidikan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Naib Canselor UniSZA Prof. Datuk Dr. Fadzli Adam berkata penganjuran program bertemakan “Next-Generation Pedagogy: Advancing Inclusive Education Through Innovation” itu membuktikan komitmen universiti memperkukuh kecemerlangan akademik menerusi pendekatan pendidikan yang inovatif dan inklusif.

“Sebanyak 178 penyertaan telah diterima pada edisi kali ini, melibatkan 101 penyertaan bagi pertandingan IIDEL (Invention, Innovation & Design on e-Learning), 29 penyertaan bagi kategori baharu MOOC/MC, 20 penyertaan SULAM Innovate, 16 penyertaan inovasi sekolah menerusi YEIC (Young Educational Innovators Challenge) serta 12 penyertaan bagi Anugerah Reka Bentuk Kurikulum dan Penyampaian Inovatif (AKRI),” katanya.

Beliau berkata penganjuran yang bermula 23 Ogos lalu itu menghimpunkan warga akademik dan peserta dalam pelbagai aktiviti berkaitan pembangunan kurikulum, e-pembelajaran serta inovasi pendidikan.

Menurutnya, antara pengisian utama ialah bengkel Pembangunan Kurikulum berteraskan modul Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), khususnya pendekatan Problem-Based Learning (PBL) dan Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM).

Program itu turut menampilkan tiga siri wacana ilmu dan syarahan keynote, selain lima platform pertandingan inovasi yang memberi ruang kepada warga akademik serta peserta mengetengahkan idea dan pendekatan baharu dalam pendidikan.

Penganjuran CITRA x UniCeL 2026 dilihat sebagai platform untuk memperkasa pedagogi generasi baharu, khususnya melalui penggunaan teknologi dan pendekatan pembelajaran yang lebih inklusif bagi memenuhi keperluan pendidikan semasa.

Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *