Home / Penyelidikan / 137 penyertaan lima negara meriahkan ICPR 2026 UIS di Thailand

137 penyertaan lima negara meriahkan ICPR 2026 UIS di Thailand

oleh Editorial KampusKini

HATYAI, Thailand– Sebanyak 137 penyertaan dari lima negara menyertai 10th International Conference on Postgraduate Research 2026 (10th ICPR 2026) anjuran Pusat Pengajian Siswazah (PPS), Universiti Islam Selangor (UIS), yang berlangsung secara hibrid di sini.

Persidangan pada 1 hingga 2 Sept itu menghimpunkan 123 pembentang dan 14 peserta dari Malaysia, Indonesia, Brunei, Thailand dan Singapura, sekali gus memperkukuh jaringan akademik dan penyelidikan pascasiswazah UIS di peringkat serantau.

Mengangkat tema “Human Values and Artificial Intelligence (AI): Shaping Postgraduate Research Excellence”, persidangan itu memberi tumpuan kepada keseimbangan antara nilai kemanusiaan dan perkembangan AI dalam membentuk landskap penyelidikan pascasiswazah pada masa hadapan.

Penganjuran kali ini mendapat kerjasama lapan institusi antarabangsa, iaitu Universitas Ibn Khaldun (UIKA) Bogor, Universitas Islam Sultan Muhammad Syafiuddin Sambas (SAMBAS), Universitas Islam Jakarta, Sekolah Tinggi Ilmu Hukum IBLAM, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Universiti Princess of Naradhiwas, Universiti Prince of Songkla dan Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri.

Kerjasama berkenaan melibatkan institusi dari Indonesia, Brunei, Thailand dan Singapura, sekali gus memperluas jaringan strategik UIS dalam bidang akademik, penyelidikan dan pengajian pascasiswazah.

Pada persidangan sama, UIS turut mengadakan majlis penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Islam Jakarta, Indonesia bagi memperkukuh kerjasama dalam penyelidikan, penerbitan, seminar dan penulisan akademik.

Sesi ucaptama disampaikan Prof Pelawat PPS UIS Prof Dr. Rozanah Ab. Rahman, dan ProfMadya Dr. Try Widoyono dari Universiti Islam Jakarta.

Penganjuran 10th ICPR 2026 menjadi platform perkongsian ilmu dan pembentangan hasil penyelidikan, selain membuka ruang kolaborasi antara penyelidik serta institusi pengajian tinggi di rantau ini.

Persidangan itu turut memperlihatkan usaha UIS memperkukuh kecemerlangan penyelidikan pascasiswazah menerusi jaringan antarabangsa dan kolaborasi akademik yang lebih luas.

Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Universiti Islam Selangor (UIS)

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *