Home / Sekolah / 1,200 murid dua sekolah sertai perarakan Maulidur Rasul sejauh 4 kilometer

1,200 murid dua sekolah sertai perarakan Maulidur Rasul sejauh 4 kilometer

Pengurusan Semmuja dan SKMJ bergambar kenangan

oleh Mohd Rizal Azman Rifin

MUADZAM SHAH – Seramai 1,200 murid Sekolah Menengah Kebangsaan Muadzam Jaya (SEMMUJA) dan Sekolah Kebangsaan Muadzam Jaya (SKMJ) menyertai perarakan Maulidur Rasul sejauh empat kilometer di sini, baru-baru ini.

Program itu dianjurkan secara bersama oleh kedua-dua sekolah sebagai usaha menyemarakkan sambutan Maulidur Rasul, selain memupuk rasa cinta dan menghayati keperibadian serta akhlak Rasulullah SAW dalam kalangan murid.

Guru Penolong Kanan Pentadbiran SKMJ, Ustaz Muhamad Farid Wajdi berkata kerjasama antara sekolah rendah dan menengah itu menjadikan sambutan lebih meriah, selain memberi peluang kepada murid daripada kedua-dua institusi berinteraksi dalam program berteraskan nilai keagamaan.

“Suasana sepanjang perarakan amat meriah dengan semangat murid melaungkan selawat. Jalinan kerjasama ini membuktikan perbezaan peringkat sekolah bukan halangan untuk kita bersama-sama menganjurkan program yang memberi manfaat kepada murid,” katanya.

Beliau berkata kejayaan penganjuran itu turut mendapat sambutan positif daripada masyarakat yang menyaksikan perarakan berkenaan, sekali gus membuka ruang untuk kerjasama seumpama itu diteruskan pada masa akan datang.

Sementara itu, Guru Fizik SEMMUJA Ahmad Rushdan Mohamad Ghazali berkata sambutan tahun ini lebih bermakna dengan penglibatan komuniti setempat, termasuk pengurusan Masjid Tengku Ampuan Afzan, Bandar Satelit, yang menghantar imam, bilal dan pegawai pengurusan masjid untuk memimpin bacaan selawat sepanjang perarakan.

Beliau berkata penglibatan komuniti itu dapat mengeratkan hubungan antara warga sekolah dengan masyarakat setempat, selain mewujudkan suasana kebersamaan dalam menghayati sambutan Maulidur Rasul.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKMJ, Ustaz Mohd Taha Rulam Ahmad berkata penglibatan pelbagai pihak menjadikan perarakan berkenaan lebih meriah dan mencerminkan semangat kerjasama antara sekolah dengan komuniti.

Bagi murid Tingkatan Tiga SEMMUJA, Harish Hizzuan Desprinto, 15, penyertaan dalam perarakan itu memberi peluang kepada dirinya dan rakan-rakan menzahirkan kecintaan kepada Rasulullah SAW.

“Saya berharap dapat meneladani akhlak mulia Baginda dalam kehidupan sebagai seorang murid dan menjadikan nilai tersebut sebagai panduan dalam kehidupan seharian,” katanya.

Selain perarakan, sambutan Maulidur Rasul itu turut menjadi wadah kepada warga sekolah dan komuniti untuk menghayati sirah, akhlak serta ajaran Rasulullah SAW, sekali gus menerapkan nilai murni dalam kehidupan murid.

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *