Home / Kampus / UUM, ANGKASA perkukuh ekosistem koperasi, keusahawanan pelajar

UUM, ANGKASA perkukuh ekosistem koperasi, keusahawanan pelajar

SINTOK— Kerjasama strategik antara Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) diyakini mampu memperkukuh ekosistem koperasi dan keusahawanan dalam kalangan pelajar, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan universiti itu.

Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata kerjasama berkenaan bukan sekadar melibatkan penjenamaan Inapan Siswa (Inasis) ANGKASA, sebaliknya perlu dimanfaatkan sebagai platform strategik untuk mendedahkan pelajar kepada pengurusan koperasi, perniagaan dan keusahawanan sejak di peringkat universiti.

Menurutnya, pengalaman luas ANGKASA dalam bidang koperasi mampu dimanfaatkan sebagai rakan strategik UUM bagi memperkasa aktiviti koperasi pelajar serta membangunkan bakat keusahawanan yang lebih berdaya saing.

“Saya amat mengharapkan hubungan yang terjalin antara ANGKASA dan UUM bukan sekadar mendapat nama sahaja, tetapi lebih jauh daripada itu dengan memberikan banyak manfaat, terutama dalam pendidikan pelajar dalam aspek koperasi,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) Penjenamaan Inasis ANGKASA, hari ini.

Pada majlis itu, MoA ditandatangani Ahmad Martadha bagi pihak UUM, manakala ANGKASA diwakili Presidennya, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah.

Turut berlangsung penyerahan cek cura berjumlah RM350,000 yang disampaikan Abdul Fattah kepada Ahmad Martadha.

Ahmad Martadha berkata UUM turut melihat potensi menyusun aktiviti perniagaan pelajar di bawah satu badan koperasi pelajar sebagai medan untuk mereka mempelajari pengurusan perniagaan secara praktikal.

Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan pelajar bukan sahaja menguasai pengetahuan akademik, malah memperoleh pengalaman mengurus perniagaan dan koperasi yang boleh menjadi nilai tambah apabila menamatkan pengajian.

“Ini boleh menjadi contoh bagaimana sesebuah perniagaan itu dapat dijayakan melalui hubungan koperasi. Kita mahu pelajar didedahkan kepada aktiviti koperasi sejak peringkat awal supaya mereka lebih bersedia menghadapi dunia perniagaan dan keusahawanan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kerjasama UUM-ANGKASA turut membuka ruang kepada penglibatan Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) dalam memperkasakan aktiviti koperasi dan keusahawanan pelajar.

Menurutnya, kepakaran akademik dalam bidang perniagaan boleh digabungkan dengan pengalaman ANGKASA bagi membangunkan program yang lebih tersusun dan memberi impak langsung kepada pelajar.

Beliau berkata pelajar perlu dipersiapkan untuk menjadi pencipta peluang pekerjaan dan bukan hanya bergantung kepada peluang pekerjaan yang disediakan kerajaan atau sektor swasta.

“Dengan kerjasama antara UUM dan ANGKASA, kita boleh melatih lebih ramai pelajar untuk terlibat dalam bidang keusahawanan supaya mereka boleh menjadi peniaga sendiri dan mencipta pekerjaan sendiri tanpa hanya mengharapkan sektor kerajaan atau swasta,” katanya.

Ahmad Martadha yakin pengalaman dan kemahiran yang diperoleh melalui penglibatan dalam koperasi mampu menjadi antara faktor yang meningkatkan kebolehpasaran graduan UUM apabila memasuki pasaran pekerjaan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau mencadangkan kerjasama strategik berkenaan diperluaskan kepada pembangunan akademik, termasuk peluang penyertaan anggota koperasi dalam program Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) UUM.

Beliau berkata UUM sedang meneroka kerjasama dengan beberapa organisasi termasuk ANGKASA dan pihak industri bagi membuka peluang kepada lebih ramai peserta mengikuti program berkenaan.

“Kita sedang mempromosikan program-program terutama MBA. Insya-Allah, kita berharap daripada ANGKASA boleh mendapatkan 10 orang untuk mengikuti program MBA kita pada sesi kemasukan akan datang,” katanya.

Photo credit: Universiti Utara Malaysia (UUM)

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *