Home / Kampus / UTHM, Eco Bee Biotech jalin kerjasama bangunkan bakat, pelihara biodiversiti

UTHM, Eco Bee Biotech jalin kerjasama bangunkan bakat, pelihara biodiversiti

oleh Editorial KampusKini

PAGOH – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Eco Bee Biotech Sdn. Bhd. bagi memperkukuh pembangunan bakat berasaskan industri dan pemuliharaan biodiversiti menerusi kerjasama strategik universiti-industri.

Kerjasama menerusi Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) itu turut membuka peluang pelaksanaan pembelajaran berasaskan kerja (WBL) serta pembangunan Taman Herba FAST sebagai makmal pembelajaran hidup untuk pelajar.

Dekan FAST Prof Madya Ts. Dr. Noor Azura Awang berkata kerjasama universiti-industri penting bagi memastikan pembelajaran akademik kekal relevan dengan keperluan industri, selain melahirkan graduan kompeten yang mempunyai kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar.

“Kerjasama strategik ini memberi peluang kepada pelajar untuk menghubungkan ilmu teori dengan pengalaman sebenar di lapangan, sekali gus meningkatkan kompetensi profesional dan kefahaman mereka terhadap aplikasi sains dalam industri,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada kerjasama itu, Eco Bee Biotech menyumbangkan sebuah sarang lebah dan 10 batang pokok bagi menyokong usaha pemuliharaan biodiversiti serta penghijauan Taman Herba FAST di UTHM Kampus Pagoh.

Inisiatif itu turut dilaksanakan menerusi Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Industri: Pemuliharaan Lebah dan Penghijauan Taman Herba UTHM Pagoh yang melibatkan 52 pelajar Sarjana Muda Sains Kepelbagaian Biologi dan Pemuliharaan dengan Kepujian.

Program berkenaan merangkumi perkongsian kepakaran industri mengenai peranan lebah sebagai agen pendebungaan, demonstrasi pemasangan sarang lebah dan aktiviti penanaman pokok bagi memberi pendedahan praktikal kepada pelajar tentang kepentingan biodiversiti dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem.

Dari aspek pembangunan bakat, seorang pelajar Tahun Empat program Sarjana Muda Sains Kimia Industri dengan Kepujian sedang menjalani penempatan industri di Eco Bee Biotech dari September 2026 hingga Julai 2027, termasuk melaksanakan Projek Tahun Akhir.

Majlis pemeteraian MoU itu berlangsung di UTHM Kampus Pagoh dan dihadiri Provost UTHM Pagoh Prof Ts. Dr. Abdul Mutalib Leman, yang mewakili Naib Canselor, serta Pengarah Urusan Eco Bee Biotech Cathie Tan Ah Tee.

Kerjasama itu selari dengan aspirasi Gerak Transformasi UTHM 2030 (GTU2030) dalam memperkukuh hubungan industri, pemindahan ilmu dan pembangunan kampus lestari.

Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Trending

🕌
Waktu Solat
Malaysia

Wilayah Persekutuan — Kuala Lumpur & Putrajaya


Imsak

05:39


Subuh

05:49


Syuruk

06:56


Zohor

13:00


Asar

16:19


Maghrib

19:00


Isyak

20:10

Sumber: e-Solat JAKIM