oleh Editorial KampusKini
KUALA NERUS – Seramai 2,829 graduan bakal menerima ijazah dan diploma masing-masing pada Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Ke-24, dengan 397 daripadanya memperoleh keputusan kelas pertama.
Naib Canselor UMT, Prof Dr. SuriyaniMuhamad berkata daripada jumlah keseluruhan graduan itu, seramai 1,770 orang berasal daripada keluarga berpendapatan rendah (B40), manakala 480 orang merupakan anak Terengganu dan 79 orang graduan antarabangsa.
Beliau berkata kejayaan para graduan bukan sekadar pencapaian akademik, malah mencerminkan pengorbanan keluarga serta komitmen pensyarah yang membimbing mereka sepanjang pengajian.
“Tahniah juga kepada ibu bapa dan keluarga yang sentiasa mendoakan serta memberikan sokongan kepada para graduan. Kejayaan anak-anak hari ini turut menjadi kebanggaan dan hadiah buat anda semua,” katanya dalam kenyataan berhubung penganjuran istiadat itu.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada penerima anugerah kecemerlangan, khususnya Anugerah Pelajaran Diraja, Anugerah Pingat Emas Canselor dan penerima anugerah universiti yang lain.
Menurutnya, pengiktirafan itu diharap menjadi pendorong kepada graduan untuk terus mencapai kecemerlangan serta menyumbang kepada masyarakat dan negara.
Dalam pada itu, beliau berkata komuniti alumni UMT kini mencecah 46,670 orang dan berharap graduan yang diraikan tahun ini akan terus membawa nama baik universiti dalam apa jua bidang yang diceburi.
Beliau turut menasihati graduan supaya terus berusaha, menjaga integriti dan menghargai sokongan keluarga serta individu yang membantu mereka mencapai kejayaan.
“Selepas ini, perjalanan hidup mungkin membawa anda ke pelbagai arah, sama ada menyambung pengajian, memulakan kerjaya atau mencari peluang baharu. Apa pun laluan yang dipilih, teruskan berusaha dan berikan sumbangan bermakna,” katanya.
Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Naib Canselor UMT


Leave a Reply