Home / Kampus / USM, PDRM perkukuh kerjasama pembangunan modal insan

USM, PDRM perkukuh kerjasama pembangunan modal insan

KUALA LUMPUR — Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan (PPBLT) memperkukuh kerjasama strategik dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam bidang pembangunan modal insan dan peningkatan kemahiran profesional warga pasukan keselamatan negara.

Usaha itu direalisasikan menerusi kunjungan hormat delegasi PPBLT yang diketuai Dekan PPBLT, Prof Dr. Hazri Jamil ke Jabatan Pengurusan PDRM di Ibu Pejabat PDRM, Bukit Aman, baru-baru ini.

Kunjungan berkenaan bertujuan meneroka kerjasama dalam meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pegawai PDRM, selain memperkasa latihan kemahiran profesional bagi menyokong pelaksanaan tugas kepolisan.

Delegasi USM turut disertai Timbalan Dekan Akademik, Kerjaya dan Hal Ehwal Antarabangsa, Azril Ali; Penolong Pendaftar Kanan, Aizat Hisham Ahmad serta pensyarah, Nurtasneem Ibrahim.

Delegasi berkenaan disambut Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Sri Abdul Aziz Abdul Majid bersama barisan pegawai kanan jabatan berkenaan.

Dalam perbincangan rasmi itu, kedua-dua pihak menyatakan komitmen untuk meneroka serta melaksanakan beberapa inisiatif strategik bagi menyokong pembelajaran berterusan dan pembangunan kemahiran dalam kalangan anggota PDRM.

Antara inisiatif yang dirancang termasuk penganjuran bengkel bersama, pembangunan modul latihan khusus serta penyediaan kerangka memorandum bagi mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua institusi.

Kerjasama itu dijangka membuka ruang lebih luas kepada perkongsian kepakaran dan pembangunan kapasiti, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kecekapan, profesionalisme serta keterampilan warga PDRM.

Photo credit: Universiti Sains Malaysia (USM)

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *