Home / Kampus / UMK perkukuh transformasi digital menerusi penandaarasan bersama JDN

UMK perkukuh transformasi digital menerusi penandaarasan bersama JDN

CYBERJAYA Universiti Malaysia Kelantan (UMK) memperkukuh agenda transformasi digital universiti menerusi kunjungan hormat dan lawatan penandaarasan digital kepada Jabatan Digital Negara (JDN), di sini, baru-baru ini.

Inisiatif Pusat Transformasi Digital (DiTeC@UMK) itu bertujuan memperluas jaringan kerjasama strategik antara UMK dan JDN, khususnya dalam memperkasa pendigitalan serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan digital sektor awam.

Delegasi DiTeC@UMK diketuai Prof. Ts. Dr. Zailani Abdullah bersama Pengarah Pusat Transformasi Digital, Noradilah Ismail; Ketua Pentadbir, Alifah Adnan; Ketua Bahagian Infrastruktur, Faizum Ahmad; Ketua Seksyen Pusat Data, Mohd Nazree Abu Bakar serta Ketua Seksyen Pengurusan Projek dan Governan, Siti Suhaila Mohd Nawi.

Ketua Pengarah JDN, Ts. Nik Zalbina Nik Mat menerima kunjungan berkenaan bersama barisan Ketua Perunding ICT dan pengarah bahagian JDN berkaitan pembangunan perkhidmatan gunasama, infrastruktur dan keselamatan digital, perancangan perkhidmatan digital, kerajaan digital serta teknologi maklumat.

Sesi perkongsian JDN disampaikan Ketua Perunding ICT (Teknikal), Ts. Dr. Siti Mariam Shahar yang memberi penerangan mengenai hala tuju dan perkembangan semasa pendigitalan sektor awam.

Antara perkara yang diberi tumpuan ialah hala tuju Pelan Pendigitalan Negara, tata kelola pengurusan digital, perundingan dan pengurusan projek digital serta aspek infrastruktur dan keselamatan digital.

Perbincangan turut merangkumi amalan terbaik pendigitalan sektor awam, pengukuhan ekosistem dan perkhidmatan digital serta Pelan Pendigitalan RPSA.

Lawatan penandaarasan itu menjadi platform perkongsian ilmu, pengalaman dan kepakaran antara UMK dan JDN, selain memberi pendedahan kepada DiTeC@UMK mengenai amalan terbaik yang boleh disesuaikan dalam memperkukuh ekosistem digital universiti.

Usaha berkenaan selari dengan keperluan institusi pendidikan tinggi untuk memperkukuh tata kelola digital, infrastruktur serta keselamatan siber bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada warga universiti dapat dilaksanakan secara lebih cekap dan berkesan.

Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Universiti Malaysia Kelantan (UMK)

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *