KUANTAN– Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) mencipta kejayaan membanggakan apabila menjadi satu-satunya politeknik yang menerima geran pembangunan bernilai RM20,000 dalam NXGV Challenge 2026–2027.
Geran berkenaan diraih Pasukan AutoSAS Racing Team daripada Jabatan Kejuruteraan Mekanikal bersama Pasukan RoboSAS daripada Jabatan Kejuruteraan Elektrik POLISAS selepas dinobatkan sebagai Grant Winner bagi kategori Formula Hybrid Electric Vehicle (HEV).
Pencapaian itu dicapai menerusi persaingan dengan institusi pendidikan tinggi (IPT) lain dalam cabaran yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.
Kejayaan tersebut turut melayakkan pasukan POLISAS mara ke peringkat akhir NXGV Challenge 2026–2027 yang dijadualkan berlangsung pada November ini.
Pencapaian itu membuktikan keupayaan POLISAS dalam menggabungkan kepakaran rentas bidang, khususnya Kejuruteraan Mekanikal dan Kejuruteraan Elektrik, bagi menghasilkan penyelesaian berkaitan teknologi kenderaan elektrik hibrid.
Kolaborasi kedua-dua pasukan berkenaan turut memberi peluang kepada mahasiswa mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran kejuruteraan dalam pembangunan teknologi yang bertepatan dengan keperluan sebenar industri automotif.
Menerusi penyertaan itu, para pelajar bukan sahaja dapat memperkukuh kemahiran teknikal, malah berpeluang meningkatkan keupayaan dalam aspek inovasi, reka bentuk, penyelesaian masalah dan kerja berpasukan.
NXGV Challenge 2026–2027 yang melibatkan Malaysia Automotive, Robotics & IoT Institute (MARii), Perodua dan SAE merupakan platform bagi institusi pendidikan tinggi mengetengahkan idea serta keupayaan pelajar dalam pembangunan teknologi kenderaan generasi baharu.
Kejayaan POLISAS menerima geran pembangunan itu sekali gus mencerminkan peranan institusi TVET dalam menyediakan bakat berkemahiran tinggi yang mampu mengadaptasi perkembangan teknologi serta memenuhi tuntutan industri automotif masa hadapan.
Photo credit: Politeknik.kolejkomuniti


Leave a Reply