Home / Gaya hidup / UKM perkasa literasi digital, keselamatan siber dalam kalangan belia

UKM perkasa literasi digital, keselamatan siber dalam kalangan belia

SEREMBAN – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memperkukuh usaha meningkatkan kesedaran generasi muda mengenai literasi digital dan keselamatan siber menerusi Program Kemasyarakatan IKMAS-UKM: Pemerkasaan Literasi Digital dan Keselamatan Siber Belia di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Besar Burhanuddin, Seri Menanti.

Program anjuran Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), UKM itu melibatkan 102 pelajar Tingkatan Empat bagi memberi pendedahan kepada mereka mengenai ancaman keselamatan siber, penipuan dalam talian serta kepentingan mengurus privasi digital secara berhemah.

Antara pengisian program ialah modul keselamatan siber yang dikendalikan pakar industri BlackBerry Limited, perkongsian Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan amaran dan realiti kes penipuan siber terkini serta sesi interaktif pengurusan privasi digital bersama pasukan BlackBerry.

Pro Canselor UKM, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz berkenan berangkat merasmikan majlis penutupan program berkenaan.

Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Sufian Jusoh berkata perkembangan teknologi masa kini menuntut masyarakat, khususnya golongan belia, bukan sahaja menguasai literasi asas tetapi turut mempunyai keupayaan memahami dan mengurus risiko dalam ruang digital.

“Dunia sekarang tidak lagi sekadar menumpukan kepada literasi asas, tetapi tumpuan kini beralih sepenuhnya kepada pemerkasaan literasi digital dan keselamatan siber.

“Landskap cabaran ruang siber masa kini, daripada isu jejak digital, manipulasi maklumat peribadi hinggalah kepada jenayah siber, menuntut para belia untuk bertransformasi daripada pengguna teknologi yang pasif kepada warganegara digital yang berwaspada dan bijaksana,” katanya.

Beliau berkata program berkenaan turut membuktikan keberkesanan pendekatan Quadruple Helix apabila universiti, industri, pihak penguat kuasa dan komuniti digerakkan secara bersama dalam menangani isu yang memberi kesan kepada masyarakat.

Menurutnya, penglibatan rakan industri dalam program itu juga mencerminkan komitmen sektor swasta dalam menyokong usaha universiti memperluas ilmu dan kepakaran kepada komuniti, khususnya pelajar sekolah.

Program tersebut merupakan antara usaha IKMAS-UKM mengarusperdanakan isu kontemporari antarabangsa ke peringkat akar umbi dengan memberi penekanan kepada aspek yang mempunyai kaitan langsung dengan kehidupan dan keselamatan generasi muda.

Selain meningkatkan kefahaman mengenai ancaman siber, pendedahan berkenaan diharap dapat membentuk pelajar yang lebih bertanggungjawab dalam penggunaan teknologi, khususnya ketika berkongsi maklumat dan berinteraksi di platform digital.

Hadir sama Pengarah IKMAS, Prof. Dr. Mohd Kamarulnizam Abdullah; Pengarah Pusat Jaringan Industri dan Komuniti UKM, Dr. Aida Hanim A. Hamid; Timbalan Pegawai (Sektor Pembelajaran) Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Pilah, Rosafiz Sudeen dan Pengetua SMK Tunku Besar Burhanuddin, Ahmad Hapian Pilus.

Photo credit: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *