oleh Editorial Kampuskini
HULU TERENGGANU– Seramai 36 mahasiswa University College Bestari (UCB) menyertai Misi Edu-Sukarelawan Komuniti Orang Asli (MEKARSARI) di perkampungan Orang Asli Sungai Berua di sini, baru-baru ini, bagi memupuk semangat kesukarelawanan dan memperkukuh hubungan dengan masyarakat setempat.
Program itu melibatkan pelajar bidang Kulinari dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak yang mengikuti kursus MPU2412 Pengurusan Khidmat Masyarakat di bawah Jabatan Pengajian Bahasa dan Umum UCB.
Pensyarah Jabatan Pengajian Bahasa dan Umum merangkap penasihat program, Muhamad Asril Hakimi Ibrahim berkata MEKARSARI membuka peluang kepada mahasiswa untuk mengaplikasikan pembelajaran di luar bilik kuliah, selain memperluas jaringan kerjasama universiti dengan komuniti Orang Asli.
Antara aktiviti yang diadakan ialah sukaneka, jamuan rakyat yang disasarkan untuk kira-kira 250 orang, pembuatan kuih tradisional dan cabutan bertuah.
Aktiviti berkenaan turut menyediakan ruang interaksi antara mahasiswa dengan penduduk setempat, di samping menggalakkan perkongsian pengalaman serta penghargaan terhadap kepelbagaian budaya dan warisan masyarakat.
MEKARSARI juga memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai kepentingan komunikasi, kerjasama berpasukan dan tanggungjawab sosial melalui penglibatan secara langsung dalam aktiviti kemasyarakatan.
Pelaksanaan program itu mencerminkan usaha UCB menghubungkan pembelajaran akademik dengan pengalaman sebenar dalam masyarakat, sekali gus membentuk mahasiswa yang lebih prihatin terhadap persekitaran sosial.


Leave a Reply