oleh Editorial KampusKini
GAMBANG – Hampir 2,000 mahasiswa Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menyertai Hari Terbuka Mahasiswa UMPSA x Bizz Fest 2026 yang menyediakan 142 reruai bagi mengetengahkan aktiviti pelajar, keusahawanan, inovasi dan pembangunan bakat.
Program selama dua hari bermula 17 Oktober di Kompleks Sukan Universiti, Kampus Paya Besar itu dianjurkan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMPSA.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMPSA Prof Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed yang merasmikan program itu berkata Hari Terbuka Mahasiswa memberi peluang kepada pelajar berinteraksi, berkongsi idea, mengurus aktiviti serta memperoleh pengalaman di luar bilik kuliah.
Beliau berkata penglibatan mahasiswa dalam pelbagai organisasi dan aktiviti seperti keusahawanan, kesukarelawanan, inovasi, kebudayaan, kesenian dan sukan dapat membantu membentuk graduan yang bukan sahaja berilmu, malah memiliki nilai, karakter dan kemahiran insaniah.
Program itu turut menyediakan platform sehenti untuk pendaftaran kelab dan persatuan, badan beruniform serta kelab rekreasi, selain menawarkan pendedahan kepada pelajar baharu mengenai peluang pembangunan diri di universiti.
Pengarah program Nur Irdina Izzati Zakaria berkata penganjuran itu bertujuan menyemarakkan kehidupan kampus serta memupuk kepimpinan dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa.
Antara pengisian program ialah pameran organisasi pelajar dan agensi luar, persembahan kebudayaan, pertunjukan bakat serta jualan keusahawanan mahasiswa.
Turut berlangsung, UMPSA Innovatech Challenge 2026 yang menghimpunkan 28 penyertaan daripada syarikat pelajar mewakili lapan fakulti dan sebuah pusat di universiti itu.
Pertandingan berkenaan bertujuan menggalakkan pembangunan produk dan perkhidmatan berasaskan teknologi yang inovatif, berdaya saing serta berpotensi untuk dikomersialkan.
Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)


Leave a Reply