Home / Gaya hidup / Banjir Pangkor, Mahasiswa UiTM Bantu Warga Emas

Banjir Pangkor, Mahasiswa UiTM Bantu Warga Emas

Mahasiswa UiTM yang terlibat dalam misi bakti siswa di Pangkor yang terdiri daripada 33 orang sukarelawan pelajar.

Oleh Hasrol Jono

PULAU PANGKOR – Keprihatinan terhadap nasib warga emas yang terjejas akibat banjir mendorong sekumpulan mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) turun padang membantu membersihkan kediaman penduduk di Kampung Sungai Pinang Besar, Pulau Pangkor, semalam.

Seramai 33 pelajar dan staf UiTM menyertai Misi Pasca Banjir Pulau Pangkor dengan memberikan tumpuan kepada kerja pembersihan rumah, termasuk kediaman warga emas, bagi meringankan beban mereka selepas bencana.

Berbekalkan semangat kesukarelawanan, pasukan UiTM berganding bahu mengalihkan barangan rumah, menyapu dan mencuci lantai serta membersihkan kelengkapan kediaman yang terjejas akibat banjir.

Bantuan tersebut bukan sahaja membantu memulihkan kebersihan dan keselesaan kediaman, malah memperlihatkan keprihatinan mahasiswa terhadap golongan yang memerlukan sokongan, khususnya warga emas yang berdepan kesukaran mengurus kerja pembersihan selepas banjir.

Misi berkenaan turut menjadi medan pembelajaran di luar bilik kuliah apabila mahasiswa berpeluang menghayati nilai empati, tanggungjawab sosial dan semangat kemanusiaan melalui penglibatan secara langsung bersama komuniti.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi, berkata penglibatan mahasiswa dalam misi kemasyarakatan mencerminkan komitmen universiti untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja berilmu, malah memiliki kepekaan terhadap kesusahan masyarakat.

“Pengalaman membantu mangsa banjir, termasuk warga emas, mendidik mahasiswa memahami erti keprihatinan, kepimpinan dan tanggungjawab sosial melalui tindakan sebenar yang memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Menurut beliau, aktiviti kesukarelawanan seperti ini turut memperkukuh pembentukan sahsiah mahasiswa melalui pengalaman sebenar yang menguji semangat kerjasama, disiplin dan kesediaan untuk berkhidmat tanpa mengharapkan balasan.

Sementara itu, Pengarah Pusat Kesatria dan Kokurikulum (PKeKO) UiTM, Datuk Dr. Hasrol Jono, berkata kerjasama pelajar dan staf sepanjang misi memperlihatkan semangat kebersamaan warga universiti dalam menjayakan usaha membantu komuniti terjejas.

“Khidmat bakti ini membuktikan bahawa semangat kesukarelawanan warga UiTM bukan sekadar diterapkan melalui pembelajaran, tetapi diterjemahkan melalui tindakan membantu masyarakat yang memerlukan,” katanya.

Pelaksanaan misi yang bermula dengan ketibaan pasukan di jeti Pulau Pangkor pada pukul 10.30 pagi itu memberi keutamaan kepada keperluan pembersihan di kawasan kediaman penduduk Kampung Sungai Pinang Besar yang kebanyakannya warga emas.

Usaha tersebut turut mendapat sokongan UiTM Cawangan Perak melalui penyelarasan Rektor, Prof. Madya Dr. Nur Hisham Ibrahim, Penolong Rektor Kampus Tapah, Dr. Ahmad Zoolhelmi Alias, serta Penolong Pendaftar Kanan (Kokurikulum) Kampus Seri Iskandar, Hadijah Salleh.

Kerjasama pelbagai pihak itu membolehkan tenaga sukarelawan digembleng secara tersusun bagi membantu penduduk mengurus kesan banjir di samping memperkukuh hubungan antara universiti dengan masyarakat setempat.

Melalui inisiatif ini, mahasiswa bukan sahaja berpeluang menyumbang tenaga, malah memperoleh pengalaman berharga dalam memahami cabaran sebenar yang dihadapi golongan rentan ketika berdepan bencana.

Misi Pasca Banjir Pulau Pangkor sekali gus membuktikan bahawa pendidikan universiti melangkaui bilik kuliah apabila nilai kemanusiaan, empati dan kepimpinan diterjemahkan melalui khidmat bakti kepada masyarakat.

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Trending

🕌
Waktu Solat
Malaysia

Wilayah Persekutuan — Kuala Lumpur & Putrajaya


Imsak

05:39


Subuh

05:49


Syuruk

06:56


Zohor

13:00


Asar

16:19


Maghrib

18:59


Isyak

20:10

Sumber: e-Solat JAKIM