Home / Mahasiswa / USM raih enam pingat di Karnival IMT-GT Ke-25 di Indonesia

USM raih enam pingat di Karnival IMT-GT Ke-25 di Indonesia

PADANG– Kontinjen Universiti Sains Malaysia (USM) mencatat pencapaian membanggakan apabila meraih enam pingat menerusi acara catur, badminton, bola tampar dan tenis pada Karnival IMT-GT Ke-25 di Universiti Negeri Padang (UNP), di sini.

Daripada jumlah itu, acara catur menjadi penyumbang utama dengan dua pingat menerusi kategori lelaki dan wanita.

Pasukan catur wanita USM muncul juara bagi meraih pingat emas, manakala pasukan lelaki membawa pulang pingat perak.

Badminton turut menyumbang tiga pingat menerusi perseorangan lelaki yang meraih perak, selain perseorangan wanita dan beregu campuran masing-masing memenangi pingat gangsa.

Skuad bola tampar wanita USM pula menyumbangkan pingat gangsa selepas melalui saingan sengit sepanjang kejohanan.

Sementara itu, satu lagi pingat gangsa diperoleh menerusi acara tenis kategori beregu campuran, sekali gus melengkapkan kutipan enam pingat kontinjen USM pada kejohanan berkenaan.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Prof. Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya berkata pencapaian itu membuktikan komitmen, disiplin dan kesungguhan atlet universiti dalam membawa nama USM di pentas antarabangsa.

“Syabas dan tahniah kepada para atlet. Kejayaan membawa pulang pingat emas, perak dan gangsa ini adalah bukti usaha keras, disiplin dan dedikasi yang luar biasa di bumi Padang,” katanya.

Menurut beliau, pencapaian tersebut bukan sahaja memperlihatkan keupayaan atlet USM dalam aspek fizikal dan mental, malah mencerminkan semangat kesukanan serta daya juang tinggi yang ditampilkan sepanjang kejohanan.

Karnival IMT-GT Ke-25 yang berlangsung di UNP menghimpunkan peserta dari tiga negara serumpun, iaitu Indonesia, Malaysia dan Thailand menerusi pelbagai program serta pertandingan.

Photo credit: Universiti Sains Malaysia (USM)

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *