MELAKA — Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meneruskan komitmen memperkasa kebajikan mahasiswa menerusi program Ziarah Kasih KPT @UTeM yang menyantuni Anak Emas Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Nur Syasya Aisy Mohd Suhaimi.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir bersama kepimpinan tertinggi KPT hadir dalam kunjungan berkenaan sebagai manifestasi keprihatinan kementerian terhadap kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa.
Dalam kunjungan itu, Nur Syasya Aisy menerima Biasiswa Anak Emas daripada Yayasan Tun Canselor UTeM, selain sumbangan wang tunai, sebuah komputer riba dan bantuan Foodbank bagi membantu memenuhi keperluan sepanjang tempoh pengajian.
Yayasan Perkasa Siswa (YPS) KPT turut menyampaikan sumbangan tambahan berupa wang tunai sebagai sokongan bagi membantu keperluan dan kelangsungan pengajian pelajar berkenaan.
Inisiatif tersebut mencerminkan kerjasama berterusan antara KPT dan UTeM dalam memastikan mahasiswa yang memerlukan mendapat sokongan sewajarnya, khususnya dalam aspek kebajikan dan keperluan pendidikan.
Program berkenaan turut dihadiri Ketua Setiausaha KPT, Datuk Ts. Dr. Aminuddin Hassim; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman serta Naib Canselor UTeM, ProfDatuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UTeM, Pegawai Khas Menteri Pendidikan Tinggi, Wan Rahiman serta barisan pegawai Yayasan Perkasa Siswa dan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UTeM.
Program Ziarah Kasih KPT @UTeM diharap dapat memberi sokongan bermakna kepada Nur Syasya Aisy dalam meneruskan pengajian, selain memperlihatkan pendekatan kebajikan yang menitikberatkan keperluan mahasiswa secara langsung.
Photo credit: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)


Leave a Reply