PEKAN– Pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Nurina Batrisyia Mohd Reduan tidak menyangka rumah keluarganya di Tanjung Selangor menjadi lokasi kunjungan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.
Kunjungan itu lebih bermakna apabila Nurina, pelajar Diploma Kejuruteraan Mekanikal UMPSA, menerima Dermasiswa B40 TVET sebagai antara 20 pelajar program diploma universiti berkenaan yang mendapat manfaat inisiatif tersebut.
Sumbangan berkenaan disampaikan Dr. Zambry dalam kunjungan yang turut disertai Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar dan Naib Canselor UMPSA, Prof. Ts. Dr. Yatimah Alias.
Nurina, anak kepada pasangan Mohd Reduan Abd Razak, 43, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan Norhasliza Mohamad @ Hashim, 43, seorang suri rumah, sebelum ini turut menerima Insentif Pendidikan Yayasan UMPSA berjumlah RM1,000 bagi membantu persediaan awal melanjutkan pengajian.
Dr. Zambry berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus memberi perhatian terhadap kebajikan mahasiswa, khususnya golongan yang memerlukan sokongan bagi memastikan mereka dapat meneruskan pengajian dengan baik.
“Kita tidak mahu kekangan hidup menjadi penghalang kepada anak-anak kita untuk menuntut ilmu dan membina masa depan yang lebih baik,” katanya.
Sementara itu, Yatimah berkata selain Dermasiswa B40 TVET, Nurina turut menerima bantuan melalui Kupon eKasih, Kupon Campus Pantry, bakul makanan Yayasan UMPSA serta sebuah komputer riba bagi membantu memenuhi keperluan asas dan pembelajarannya.
Beliau berkata dermasiswa berkenaan merangkumi pembiayaan yuran pengajian sepenuhnya serta bantuan sara diri, sekali gus membantu mengurangkan beban kewangan pelajar dan keluarga sepanjang tempoh pengajian.
“Bantuan ini merupakan antara usaha UMPSA memastikan pelajar daripada keluarga yang memerlukan tidak tercicir daripada pendidikan tinggi hanya disebabkan kekangan kewangan,” katanya.
Menurutnya, UMPSA bersama Yayasan UMPSA turut melaksanakan pendekatan kebajikan secara menyeluruh dengan menyediakan bantuan pendidikan, makanan, kemudahan pembelajaran dan sokongan sara hidup kepada mahasiswa yang memerlukan.
Photo credit: Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)


Leave a Reply