Home / Kampus / USM kontinjen terbaik kategori awam Sambutan Maulidur Rasul Pulau Pinang

USM kontinjen terbaik kategori awam Sambutan Maulidur Rasul Pulau Pinang

PULAU PINANG– Universiti Sains Malaysia (USM) dinobatkan sebagai Kontinjen Terbaik Kategori Awam sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pulau Pinang 1448H/2026M yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Jawi (SMK Jawi), di sini hari ini.

Pengiktirafan itu mencerminkan komitmen warga USM dalam menyemarakkan sambutan Maulidur Rasul SAW, selain menzahirkan kecintaan dan penghormatan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW menerusi penyertaan dalam perarakan yang penuh tertib dan semangat kebersamaan.

Kontinjen USM yang membabitkan 30 staf dari Kampus Induk dan Kampus Kejuruteraan tampil dalam perarakan dengan mengetengahkan nilai kesepaduan, kebersamaan serta penghayatan terhadap ajaran dan nilai murni yang dibawa Rasulullah SAW.

Penyertaan kontinjen itu turut memperlihatkan penglibatan warga USM dalam aktiviti kemasyarakatan dan keagamaan di peringkat negeri, sekali gus memperkukuh hubungan universiti dengan komuniti setempat.

Kontinjen berkenaan diketuai Penolong Pendaftar Kanan, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Fikri Ali Yasah, manakala penyelarasan keseluruhan dikendalikan Pegawai Psikologi, Nur Amirah Asyikin Hasmizar K.B.P.A., selaku Penyelaras Kontinjen USM.

Kelancaran penyertaan turut mendapat sokongan urus setia daripada Unit Perhubungan dan Kesejahteraan Staf serta Unit Pentadbiran dan Kewangan, Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar USM.

Kejayaan itu sekali gus menjadi pengiktirafan terhadap usaha dan komitmen warga USM dalam menghayati serta menyemarakkan nilai keagamaan dan kemasyarakatan, selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan warga yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik dan profesional, malah mempunyai nilai murni serta semangat kebersamaan.

Photo credit: Universiti Sains Malaysia (USM)

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *