SERDANG– Pemilihan Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai tuan rumah Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1448H/2026M menjadi wadah universiti memperkukuh penghayatan nilai sirah dan akhlak Rasulullah SAW dalam kalangan warga kampus serta masyarakat.
Sambutan anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu turut memperlihatkan penglibatan aktif warga UPM dalam menjayakan program keagamaan berskala nasional, khususnya menerusi penyertaan kontinjen universiti dalam perarakan sempena sambutan berkenaan.
Seramai 30 anggota kontinjen UPM yang terdiri daripada wakil persatuan akademik, Persatuan Alumni UPM, Pejabat Pendaftar, Persatuan Pentadbir UPM, Persatuan KEPERTAMA dan Pusat Islam mengambil bahagian dalam perarakan tersebut.
Naib Canselor UPM, Datuk Prof Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, berkata penganjuran sambutan berkenaan memberi makna besar kepada universiti kerana ia membuka ruang kepada warga UPM untuk menghayati ajaran, akhlak dan kepimpinan Rasulullah SAW dalam konteks kehidupan serta pembangunan masyarakat.
“Penganjuran ini bukan sekadar acara rasmi, tetapi menjadi wadah untuk menyuburkan kecintaan kepada Rasulullah SAW serta menerapkan nilai integriti, kasih sayang, kepimpinan dan sikap saling menghormati dalam kalangan warga universiti dan masyarakat.
“UPM amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan JAKIM dalam menjayakan sambutan pada peringkat kebangsaan ini. Ia membuktikan bahawa universiti bukan sahaja berperanan sebagai institusi pendidikan dan penyelidikan, malah menjadi rakan penting kerajaan dalam melahirkan masyarakat yang berilmu, beradab dan sejahtera,” katanya.
Beliau berkata pemilihan UPM sebagai tuan rumah turut mengukuhkan hubungan universiti dengan agensi kerajaan, selain menyediakan ruang lebih luas untuk membangunkan program berkaitan pendidikan, pembangunan insan dan tanggungjawab sosial yang berteraskan nilai Islam.
Dalam pada itu, Pengarah Pusat Islam UPM, Zuhaimi Abdul Rahim, berkata kontinjen universiti telah membuat persiapan sejak sebulan lalu menerusi latihan berkala bagi memastikan penyertaan dalam perarakan berlangsung dengan teratur.
“Kesemua anggota kontinjen tampil mengenakan pakaian berwarna putih yang melambangkan kebersihan dan kesucian, selaras dengan semangat Sambutan Maulidur Rasul SAW,” katanya.
Bagi menyelaras persiapan dan pelaksanaan sambutan di peringkat universiti, Pengarah Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS) UPM, Husalshah Rizal Hussian bersama staf pusat berkenaan diberi tanggungjawab sebagai penyelaras dan pengelola utama.
Penganjuran sambutan itu turut menjadi platform untuk menggembleng kepakaran, kemudahan serta kekuatan warga UPM dalam menjayakan program keagamaan yang melibatkan penyertaan pelbagai pihak.
Photo credit: Pemilihan Universiti Putra Malaysia (UPM)


Leave a Reply