KUALA LUMPUR— Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) terus memperkukuh jaringan antarabangsa menerusi kunjungan hormat ke Kedutaan Negara Kuwait di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Delegasi UniSIRAJ diketuai Naib Canselor Prof Dr. Muhamad Rozaimi Ramle dan turut disertai Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Jaringan Global Profesor Dr. Asyraf Isyraqi Jamil; Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi Dr. Mohd Aizul Yaakob; Pengarah Institut Pemikiran Al-Qaradawi Mohd Shauqi Saiful Suhardi serta Ketua Pustakawan Abdul Latef Alhadri.
Ketibaan delegasi universiti itu disambut Kaunselor Kedutaan Negara Kuwait, Abdullah AlRashidi yang mewakili Duta Kuwait.
Kunjungan berkenaan menjadi platform bagi UniSIRAJ memperkenalkan profil, kepakaran dan kekuatan universiti, selain meneroka potensi kerjasama dalam bidang akademik, penyelidikan, penerbitan dan pembangunan modal insan.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak turut membincangkan peluang penajaan, biasiswa serta bentuk sokongan pendidikan yang bersesuaian untuk pelajar UniSIRAJ, selain potensi penganjuran program berimpak tinggi secara bersama termasuk seminar, forum, wacana dan persidangan antarabangsa.
Perbincangan turut menyentuh usaha membina jaringan dengan institusi pengajian tinggi serta badan pendidikan di Kuwait, meneroka sokongan teknikal dan pembiayaan bagi inisiatif strategik serta persediaan ke arah pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai asas kerjasama jangka panjang.
Menurut UniSIRAJ, kunjungan itu dijangka menjadi titik tolak kepada pembentukan hubungan strategik dengan pihak berkepentingan dari Kuwait, sekali gus memperluas jaringan antarabangsa universiti khususnya di rantau Asia Barat dan dunia Islam.


Leave a Reply