KUALA KETIL – Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) dan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam pembangunan bakat, kebolehpasaran graduan serta jaringan industri dan akademia.
MoU itu dimeterai dalam satu majlis di Dewan Senat, Aras 2, Bangunan Canselori TSUAAR UniSHAMS di sini, semalam.
TalentCorp diwakili Senior Vice President Puan Hajah Mahuran Saro Dato’ Haji Sariki, manakala UniSHAMS diwakili Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Prof Madya Dr Muhammad Nasri Md Hussain.
Kerjasama berkenaan dijangka memberi manfaat kepada pelajar UniSHAMS menerusi peningkatan peluang kerjaya serta akses yang lebih luas kepada program pembangunan profesional yang relevan dengan keperluan industri.
UniSHAMS dalam kenyataan berkata pemeteraian MoU itu mencerminkan komitmen universiti untuk memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan tinggi dengan industri dalam usaha melahirkan graduan berdaya saing dan bersedia menghadapi pasaran kerja semasa.
Menurut kenyataan itu, kerjasama berkenaan turut menyokong agenda pembangunan negara melalui usaha memperkasa bakat serta meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Photo credit: Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS)


Leave a Reply