KUALA LUMPUR– Universiti Selangor (UNISEL) membentangkan Pelan Transformasi UNISEL 2026–2030 sebagai landasan baharu untuk memperkukuh kedudukan universiti sebagai institusi pendidikan tinggi yang progresif, berdaya saing dan responsif terhadap keperluan semasa serta masa hadapan.
Pelan berkenaan dibentangkan dalam sesi Kunjungan Hormat UNISEL di Pejabat Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Menara Merdeka 118, di sini, hari ini.
Presiden dan Naib Canselor UNISEL Prof. Emeritus Ir. Datuk Dr. Hassan Basri mengetuai sesi pembentangan dan perbincangan yang memberi tumpuan kepada hala tuju transformasi universiti, termasuk pengukuhan hubungan strategik dengan pemegang taruh serta sektor korporat.
Perbincangan itu turut menekankan usaha memperkukuh jaringan kerjasama UNISEL dengan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) dan rakan strategik daripada sektor korporat dalam menyokong agenda pembangunan universiti.
Dalam perkembangan sama, sesi berkenaan turut menyaksikan Majlis Serahan Surat Pemakluman Perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berhubung penyambungan pelantikan Yang Amat Dihormati (Y.A.D.) Raja Tan Sri Datuk Seri Arshad Raja Tun Uda sebagai Canselor UNISEL.
Surat pemakluman berkenaan diserahkan oleh Prof. Emeritus Ir. Datuk Dr. Hassan Basri kepada Raja Tan Sri Datuk Seri Arshad.
Turut hadir Canselor UNISEL Y.A.D. Raja Tan Sri Datuk Seri Arshad Raja Tun Uda; Pro-Canselor UNISEL Y.A.D. Tan Sri Datuk Seri Muhammad Ibrahim; Pro-Canselor UNISEL Y.A.D. Engku Sri Paduka Diraja Raja Datuk Reza Al-Haj Raja Datuk Zaib Shah Al-Haj; Ketua Pegawai Eksekutif MBI merangkap Ahli Lembaga Pengarah UNISEL Sdn. Bhd. Dato’ Ts. Hj. SaipolYazan M Yusop serta barisan pengurusan tertinggi universiti.
Pelan Transformasi UNISEL 2026–2030 dijangka menjadi kerangka strategik universiti dalam memperkukuh kecemerlangan akademik, daya saing institusi dan jaringan kerjasama strategik, selaras dengan tuntutan landskap pendidikan tinggi yang semakin dinamik.


Leave a Reply