Home / Kampus / UniMAIWP sasar UPSI sebagai rakan strategik pembangunan institusi

UniMAIWP sasar UPSI sebagai rakan strategik pembangunan institusi

Mohd Afandi (duduk) ketika menandatangani buku pelawat ketika sesi ke Kunjungan Hormat UniMAIWP ke UPSI Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.

oleh Bazli Razak

 TANJONG MALIM — Universiti Antarabangsa MAIWP (UniMAIWP) menyasarkan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai rakan strategik dalam memperkukuh pembangunan institusi menerusi perkongsian kepakaran dan pengalaman dalam bidang akademik, kurikulum, pengurusan universiti serta pembangunan sumber manusia.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI, Prof. Dr. Raja Nor Safinas Raja Harun berkata landskap pendidikan tinggi yang semakin terbuka dan dinamik memerlukan institusi bergerak secara lebih tangkas dan berkesan, selain memanfaatkan kepakaran serta sumber melalui kerjasama strategik.

“Landskap pendidikan kini lebih terbuka dan meluas dengan pelbagai akses serta kepelbagaian program. Apabila kita berkolaborasi, kita dapat lebih banyak peluang yang ada,” katanya ketika Sesi Kunjungan Hormat UniMAIWP ke UPSI, hari ini.

Prof. Dr. Raja Nor Safinas berkata kepelbagaian pendekatan pendidikan tinggi ketika ini termasuk Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) dan mikro-kredensial turut membuka ruang lebih luas kepada institusi untuk meneroka bentuk kerjasama baharu.

Menurut beliau, UPSI mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang yang boleh dikongsi mengikut keperluan UniMAIWP, termasuk pengurusan akademik, penarafan universiti, penyelidikan, komunikasi korporat dan pembangunan institusi.

Beliau berkata aspek penarafan universiti juga boleh menjadi antara bidang perkongsian kepakaran memandangkan ia merupakan rujukan penting dalam mengukur kedudukan dan pencapaian sesebuah institusi, khususnya di peringkat antarabangsa.

Dalam pada itu, UPSI turut melihat potensi kerjasama dalam aspek perkongsian sumber digital, khususnya menerusi kepakaran dan kemudahan perpustakaan digital yang dimiliki universiti berkenaan.

Perkongsian tersebut dilihat mampu memberi manfaat kepada UniMAIWP dalam memperluas akses kepada bahan akademik serta mengoptimumkan penggunaan sumber tanpa memerlukan pembangunan fizikal secara besar-besaran.

Selain itu, pengalaman UPSI dalam aspek pengurusan universiti, pembangunan sumber manusia serta penjanaan pendapatan turut berpotensi dikongsi sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kapasiti institusi baharu berkenaan.

“Kerjasama strategik berkenaan turut berpotensi diperluaskan kepada bidang pembangunan kampus, khususnya apabila UniMAIWP merancang memanfaatkan tanah kira-kira 20 ekar di lokasi strategik di Kuala Lumpur,” ujar beliau.

Sementara itu, Naib Canselor UniMAIWP, Prof Dr. Mohd Afandi Salleh berkata universiti berkenaan memerlukan rakan strategik seperti UPSI bagi membantu melaksanakan mandat besar dalam menyediakan pendidikan dan membangunkan golongan asnaf, fakir serta miskin dari seluruh negara.

Beliau berkata kira-kira 80 hingga 90 peratus pelajar UniMAIWP terdiri daripada golongan asnaf dan pelajar miskin, sekali gus menjadikan pendidikan sebagai instrumen penting dalam membantu mereka mengubah taraf kehidupan.

“Mandat yang diberikan kepada kami cukup besar dan tidak mampu kami pikul secara bersendirian untuk memberi pendidikan serta membangunkan pelajar asnaf, miskin dan fakir miskin, bukan hanya di Wilayah Persekutuan tetapi seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

“Amanah ini cukup besar dan tidak mampu kami pikul secara bersendirian. Kami perlu mencari sahabat dan kawan yang boleh membantu kami,” katanya.

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Trending

🕌
Waktu Solat
Malaysia

Wilayah Persekutuan — Kuala Lumpur & Putrajaya


Imsak

05:39


Subuh

05:49


Syuruk

06:56


Zohor

13:00


Asar

16:19


Maghrib

18:59


Isyak

20:10

Sumber: e-Solat JAKIM