Home / Kampus / UMPSA, MARii meterai MoU perkasa teknologi automotif generasi baharu

UMPSA, MARii meterai MoU perkasa teknologi automotif generasi baharu

KUALA LUMPUR– Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Malaysia Automotive, Robotics & IoT Institute (MARii) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama dalam pembangunan teknologi automotif generasi baharu.

Pertukaran MoU itu berlangsung bersempena Global Automotive & Technology Expo 2026 di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), di sini, hari ini.

UMPSA diwakili Naib Canselor Prof Dr Yatimah Alias, manakala MARii diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Ts Azrul Reza Aziz.

Kerjasama berkenaan merangkumi bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembangunan teknologi, inovasi, pemindahan teknologi serta pembangunan bakat bagi menyokong perkembangan sektor automotif dan mobiliti generasi akan datang.

Yatimah berkata antara fokus utama MoU berkenaan ialah pelaksanaan projek EARTH2NXGV 2030: Pembangunan Komponen Kritikal NXGV e-Motor, dengan UMPSA berperanan sebagai peneraju akademia bagi penyelidikan Research & Development of Rare-earth Magnet and Electric Motor (Technology Transfer Ready).

“Lebih signifikan, kerjasama ini turut membuka laluan kepada pembangunan ekosistem ‘Mine to Supermagnet’, iaitu pendekatan bersepadu daripada sumber mineral nadir bumi (rare earth) sehingga kepada penghasilan magnet berprestasi tinggi (supermagnet) dan seterusnya komponen motor elektrik untuk kenderaan generasi baharu,” katanya.

Beliau berkata menerusi pendekatan itu, UMPSA akan menerajui pembangunan teknologi berasaskan sumber mineral tempatan, termasuk pemprosesan bahan nadir bumi, formulasi serta pembangunan magnet nadir bumi sebelum diterjemahkan kepada aplikasi motor elektrik berprestasi tinggi.

Menurutnya, usaha berkenaan berpotensi membentuk rantaian nilai teknologi yang lebih lengkap dalam negara, meliputi keseluruhan proses daripada mineral, bahan nadir bumi dan magnet kepada motor elektrik serta aplikasi kenderaan generasi baharu (NXGV).

“Projek ini akan melibatkan kepakaran Pusat Kejuruteraan Automotif (AEC) dan Pusat Kelestarian Mineral & Teknologi Pemulihan Sumber (SMRRT), UMPSA, dengan menggabungkan kepakaran dalam bidang kejuruteraan automotif, motor elektrik, bahan termaju, mineral nadir bumi serta teknologi pemulihan dan kitar semula sumber,” katanya.

Yatimah berkata sinergi antara kedua-dua pusat kecemerlangan itu turut menyokong usaha menghasilkan teknologi yang bersedia untuk pemindahan kepada industri (Technology Transfer Ready), sekali gus mempercepat penerapan hasil penyelidikan universiti ke sektor automotif.

Selain pembangunan teknologi, MoU itu turut membuka ruang kepada pelaksanaan penyelidikan dan pembangunan secara kolaboratif, penerbitan bersama, perkongsian kepakaran serta pembangunan kapasiti.

Kerjasama tersebut turut memperkukuh jaringan akademia-industri menerusi Consortium of Automotive Malaysian Universities (CAuto), sekali gus menyediakan ruang lebih luas kepada UMPSA dan MARii untuk meneroka inisiatif berkaitan teknologi serta bakat dalam sektor automotif.

Photo credit: Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *