Home / Gaya hidup / UMPSA himpun 115 peserta teroka AI tangani cabaran sektor pertanian

UMPSA himpun 115 peserta teroka AI tangani cabaran sektor pertanian

oleh Editorial KampusKini

PEKAN– Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menghimpunkan 115 peserta terdiri daripada pemain industri, pensyarah dan pelajar bagi meneroka penggunaan kecerdasan buatan (AI) serta teknologi digital dalam menangani cabaran sebenar sektor pertanian menerusi The Smart Harvest Series: Agri-Tech Summit (AI Meets Durian), baru-baru ini.

Program yang berlangsung di Fakulti Komputer UMPSA itu melibatkan 49 pemain industri dan pensyarah serta 66 pelajar, dengan fokus kepada pembangunan penyelesaian teknologi bagi memperkukuh keselamatan, ketulenan dan transformasi rantaian nilai pertanian.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMPSA, Prof. Dr. Mohd Hasbi Ab Rahim berkata sidang kemuncak berkenaan menjadi platform mempertemukan permasalahan sebenar industri dengan keupayaan teknologi serta kepakaran penyelidikan universiti.

“Penganjuran ini bukan sekadar platform perkongsian pengetahuan, malah menjadi titik pertemuan antara permasalahan sebenar industri dengan keupayaan teknologi, pengalaman sektor pertanian dengan kepakaran penyelidikan universiti serta idea dengan pelaksanaan,” katanya.

Beliau berkata transformasi digital sektor pertanian semakin berkembang seiring keutamaan negara menerusi Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2.0 dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara.

Menurutnya, komoditi bernilai tinggi seperti durian premium, khususnya di Pahang dan koridor Pantai Timur, berdepan cabaran termasuk kecurian hasil, pemalsuan klon melalui anak benih tidak tulen serta kekangan rantaian bekalan berkaitan piawaian eksport, kelestarian tenaga dan perlindungan harta intelek.

Sehubungan itu, beliau berkata sidang kemuncak berkenaan memberi tumpuan kepada tiga teras strategik iaitu SECURE, AUTHENTICATE dan TRANSFORM.

“Teras SECURE memberi penekanan kepada penggunaan Agentic AI dan sistem keselamatan autonomi bagi melindungi tanaman bernilai tinggi daripada ancaman kecurian, manakala AUTHENTICATE memanfaatkan teknologi pengesanan genomik dan pengesahan berasaskan AI bagi menangani isu pemalsuan anak benih klon.

“TRANSFORM pula memberi fokus kepada integrasi teknologi digital dalam keseluruhan rantaian nilai pertanian, termasuk penggunaan papan pemuka pertanian pintar serta pembangunan rantaian bekalan bahan api penerbangan lestari,” katanya.

Program itu turut menampilkan Agricultural Industry Reverse Pitching Session yang memberi ruang kepada pemain industri mengetengahkan cabaran sebenar secara langsung kepada pembangun perisian bagi membangunkan penyelesaian yang praktikal dan bersesuaian dengan keperluan lapangan.

Prof. Dr. Mohd Hasbi berkata antara hasil yang disasarkan ialah pembentukan projek penyelidikan dan inovasi universiti-industri, pembangunan proof of concept (PoC) serta prototaip dalam bidang AI, pemantauan digital, keselamatan, kebolehkesanan dan pertanian pintar.

Selain itu, inisiatif berkenaan turut membuka peluang kepada pemindahan teknologi dan pengkomersialan inovasi UMPSA, penyelidikan berasaskan industri untuk pelajar dan penyelidik serta pengukuhan perlindungan harta intelek.

“Yang lebih penting, kita berharap inisiatif ini dapat menjadi pemangkin kepada pembentukan kerjasama strategik jangka panjang antara UMPSA, syarikat pertanian, penyedia teknologi, pelabur, agensi kerajaan dan komuniti,” katanya.

Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Trending

🕌
Waktu Solat
Malaysia

Wilayah Persekutuan — Kuala Lumpur & Putrajaya


Imsak

05:39


Subuh

05:49


Syuruk

06:56


Zohor

13:00


Asar

16:19


Maghrib

18:59


Isyak

20:10

Sumber: e-Solat JAKIM