Home / Utama / UMPSA catat sejarah, Dewan Konvokesyen baharu jadi lokasi Solat Hajat Perdana

UMPSA catat sejarah, Dewan Konvokesyen baharu jadi lokasi Solat Hajat Perdana

PEKAN– Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mencatat sejarah apabila buat pertama kali mengadakan Majlis Solat Hajat Perdana dan Bacaan Surah al-Baqarah di Dewan Konvokesyen UMPSA yang baharu, di sini hari ini.

Majlis yang bermula 8.30 pagi itu dihadiri Naib Canselor UMPSA Prof Ts Dr Yatimah Alias bersama warga universiti sebagai usaha mengeratkan silaturahim selain memohon keberkatan dan kesejahteraan seluruh warga universiti.

Turut hadir Pendaftar UMPSA YH Datuk Saiful Bahri Ahmad Bakarim serta barisan pengurusan universiti.

Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) UMPSA Dr Ahmad Irfan Ikmal Hisham mengimamkan Solat Hajat Perdana dan mengetuai bacaan Surah al-Baqarah pada majlis berkenaan.

Prof  Yatimah berkata beliau bersyukur apabila pembinaan Dewan Konvokesyen UMPSA dapat disiapkan sepenuhnya mengikut jadual dan kini boleh dimanfaatkan warga kampus.

“Buat pertama kalinya UMPSA mempunyai Dewan Konvokesyen sejak penubuhan universiti 24 tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata sebelum ini Istiadat Pemasyhuran dan Majlis Konvokesyen pertama universiti yang ketika itu dikenali sebagai Kolej Universiti Kejuruteraan & Teknologi Malaysia (KUKTEM) berlangsung pada 12 Ogos 2006 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan.

Katanya bermula Majlis Konvokesyen Keempat Universiti Malaysia Pahang (UMP), yang kini dikenali sebagai UMPSA, pada 3 dan 4 Oktober 2009, istiadat konvokesyen universiti itu dilaksanakan di Dewan Kompleks Sukan UMPSA Kampus Gambang.

“Dengan adanya Dewan Konvokesyen ini, ia menjadi satu lagi pencapaian penting dalam perkembangan UMPSA sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi,” katanya.

UMPSA yang bakal menyambut ulang tahun ke-25 penubuhannya kini mempunyai seramai 52,632 alumni yang menyumbang dalam pelbagai sektor dan bidang di dalam serta luar negara.

Photo credit: Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *