Home / Kampus / UMK perkasa ekopelancongan lestari Desa Kemambang menerusi kepakaran agroforestri

UMK perkasa ekopelancongan lestari Desa Kemambang menerusi kepakaran agroforestri

oleh Editorial KampusKini

SEMARANG – Kepakaran penyelidik Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dalam pembangunan komuniti dan kelestarian alam sekitar diperluas ke Desa Kemambang, Kabupaten Semarang, Jawa Tengah bagi membantu pembangunan ekopelancongan lestari dan sektor agroforestri di kawasan berkenaan.

Pensyarah Fakulti Sains Bumi UMK, Dr. Noor Janatun Naim Jemali berkata usaha itu dilaksanakan menerusi program World Class University (WCU) – SDGs International Community Services (ICS) 2026 dengan kerjasama Universitas Diponegoro (UNDIP), Indonesia dari 25 hingga 30 Sept lepas.

Beliau berkata kepakaran UMK dimanfaatkan untuk membantu komuniti setempat mengembangkan aktiviti pelancongan secara lestari berdasarkan pengalaman dan pendekatan yang dilaksanakan di Malaysia.

“Program ini turut memberi tumpuan kepada pembangunan komuniti melalui pendekatan agroforestri, pemanfaatan sumber tempatan dan teknologi pemprosesan hasil pertanian,” katanya.

Menurut beliau, antara aktiviti agroforestri yang dikenal pasti mempunyai potensi untuk dikembangkan termasuk penanaman kopi dan aren, selain tanaman avokado, ternakan kambing serta hasil pertanian lain sebagai sumber pendapatan komuniti.

Katanya, beberapa potensi sumber semula jadi dan hasil pertanian tempatan turut dikenal pasti untuk dikembangkan menerusi inovasi, pemprosesan serta pendekatan pembangunan yang lebih mampan.

Dalam pada itu, satu sesi kuliah terbuka bertajuk “Agroforestry dan Ekologi Pohon Aren” turut dikendalikan delegasi Malaysia di kampus UNDIP sebagai platform pertukaran ilmu dan kepakaran antara kedua-dua negara.

Program itu turut disertai dua mahasiswa UMK iaitu Nur Aisyah Nabila Hartono dari Program Analitik Alam Sekitar (SEV) dan Haqqulyaqin Saifi dari Program Sains Sumber Asli (SEN).

Dr. Noor Janatun berkata penyertaan mahasiswa memberi peluang kepada mereka mengaplikasikan pengetahuan akademik dalam konteks sebenar pembangunan masyarakat di peringkat antarabangsa.

“Interaksi bersama komuniti membolehkan mahasiswa memahami bagaimana ilmu yang dipelajari di bilik kuliah dapat diterjemahkan kepada penyelesaian sebenar berkaitan pembangunan masyarakat,” katanya.

Delegasi UMK turut mengunjungi beberapa lokasi pelancongan di sekitar Desa Kemambang bagi menilai potensi kawasan yang boleh ditambah baik dan dinaik taraf sebagai tarikan ekopelancongan setempat.

Menurut Dr. Noor Janatun, pengalaman bermalam di Sitaring View pada ketinggian kira-kira 1,300 meter dari aras laut turut memberi peluang kepada delegasi memahami kehidupan serta persekitaran masyarakat tanah tinggi di Desa Kemambang.

Beliau berkata hasil perkongsian dan pertukaran kepakaran itu diharap dapat membuka ruang kolaborasi yang bersesuaian bagi memperkukuh sumber serta produk tempatan, di samping menyokong peningkatan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat setempat.

“Program ini menyokong aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs), khususnya dalam aspek pengurangan kemiskinan, keselamatan makanan, pembangunan komuniti, kelestarian alam sekitar dan pemanfaatan sumber daratan secara mampan,” katanya.

Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Universiti Malaysia Kelantan (UMK)

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Trending

🕌
Waktu Solat
Malaysia

Wilayah Persekutuan — Kuala Lumpur & Putrajaya


Imsak

05:39


Subuh

05:49


Syuruk

06:56


Zohor

13:00


Asar

16:19


Maghrib

19:00


Isyak

20:10

Sumber: e-Solat JAKIM