oleh Editorial KampusKini
KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) perlu terus menjadi pencipta perubahan dalam menghadapi perkembangan kecerdasan buatan (AI), teknologi termaju, perubahan iklim, persaingan bakat global, transformasi ekonomi dan perubahan geopolitik yang semakin pantas.
Naib Canselor UM, Prof Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman berkata, universiti tidak boleh sekadar menjadi pemerhati kepada perubahan, sebaliknya perlu melahirkan idea, penyelidikan, teknologi dan bakat yang mampu menangani cabaran sebenar serta memberi impak kepada masyarakat.
“Dalam dunia sedemikian, universiti tidak boleh sekadar menjadi pemerhati kepada perubahan. Universiti mesti menjadi pencipta perubahan.
“Universiti Malaya mesti terus menjadi tempat lahirnya idea yang mencabar norma biasa, penyelidikan yang menyelesaikan masalah sebenar, teknologi yang mengubah kehidupan, bakat yang mampu bersaing dengan yang terbaik di dunia dan kepimpinan yang mempunyai keberanian moral untuk menentukan masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan sempena Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun Universiti Malaya ke-121 (UM121) yang disempurnakan Canselor UM, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, dan turut dihadiri Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, baru-baru ini.
Menurutnya, sambutan UM121 bertemakan “121 Tahun Kecemerlangan, Menyulam Masa Depan” bukan sekadar memperingati pencapaian lebih satu abad, sebaliknya menjadi ruang untuk universiti menilai peranannya bagi tempoh 10, 20 dan 50 tahun akan datang.
Beliau berkata legasi memberikan UM identiti, namun masa depan menuntut universiti membuktikan kerelevanan dan impaknya dalam landskap dunia yang sentiasa berubah.
“Sebagai sebuah universiti, kita mahu UM menjadi lebih global tetapi terus berakar kepada negara, lebih berteknologi tetapi tidak kehilangan nilai kemanusiaan, lebih kompetitif tetapi terus inklusif, serta lebih berani mencipta, lebih pantas bertindak dan lebih besar impaknya kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata sejarah UM yang bermula pada 1905 menerusi penubuhan King Edward VII College of Medicine sebelum berkembang kepada penubuhan Universiti Malaya pada 1949 menjadikan universiti itu sebahagian daripada perjalanan pembangunan pendidikan tinggi dan negara.
Katanya, sepanjang lebih satu abad, UM telah melahirkan pemimpin, ilmuwan, profesional, penyelidik dan pelbagai tenaga pakar yang menyumbang kepada pembangunan Malaysia.
Namun, beliau menegaskan institusi besar tidak boleh hanya bergantung kepada pencapaian masa lalu, sebaliknya perlu memastikan generasi akan datang mewarisi sebuah universiti yang lebih kukuh.
“Tanggungjawab kita sekarang adalah memastikan generasi selepas kita menerima sebuah Universiti Malaya yang lebih kuat daripada yang kita warisi hari ini.
“Itulah ukuran sebenar kepimpinan. Itulah makna sebenar legasi dan itulah amanah UM121,” katanya.
Beliau turut menegaskan kekuatan sebenar UM bukan hanya terletak pada nama atau kedudukannya, tetapi pada warga universiti yang percaya bahawa pendidikan dan ilmu mempunyai kuasa untuk mengubah kehidupan serta membina negara.
Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Universiti Malaya (UM)


Leave a Reply