PUTRAJAYA — Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memperkukuh agenda pengantarabangsaan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Fulbright Malaysia bagi memperluas kerjasama akademik, penyelidikan, pembangunan bakat dan mobiliti pendidikan antarabangsa.
Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Sufian Jusoh mewakili universiti itu pada majlis penandatanganan MoU antara Fulbright Malaysia dan rakan strategik universiti bersempena Sambutan Ulang Tahun ke-80 Program Fulbright di Le Méridien Putrajaya, di sini.
Menurut Prof. Sufian, UKM merupakan antara 26 universiti awam dan swasta di Malaysia yang menyertai inisiatif MoU berkenaan bersama institusi lain termasuk Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
“Kerjasama tersebut dijangka membuka lebih banyak peluang kepada warga akademik dan mahasiswa UKM untuk menyertai pertukaran pelajar dan ahli akademik, kerjasama penyelidikan, pembangunan kapasiti serta program berkaitan Fulbright.
“Bagi UKM, inisiatif itu turut memperluas jaringan akademik dengan institusi serta komuniti akademik di Amerika Syarikat, selain menyokong usaha melahirkan graduan, sarjana dan pemimpin masa hadapan yang mempunyai perspektif serta jaringan global,” katanya.
Pemeteraian MoU itu turut mencerminkan komitmen bersama institusi pengajian tinggi Malaysia dan Fulbright Malaysia dalam memperkukuh diplomasi pendidikan serta hubungan akademik antara Malaysia dan Amerika Syarikat.
Majlis berkenaan dianjurkan Fulbright Malaysia atau Malaysian-American Commission on Educational Exchange (MACEE) dengan kerjasama Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur sempena ulang tahun ke-80 Program Fulbright.
Sambutan tersebut menandakan lapan dekad pelaksanaan Program Fulbright, selain mengiktiraf dan memperkukuh hubungan pendidikan yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Amerika Syarikat.
Turut hadir The Honourable Cate Dillon, Assistant Secretary of State for Educational and Cultural Affairs (ECA), U.S. Department of State serta Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim serta Pengarah Pusat Hubungan Antarabangsa (UKM Global), Prof. Madya Dr. Akmal Sabarudin.
Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)


Leave a Reply