Home / Utama / UiTM lancar Pelan Strategik UiTM2030 pacu transformasi universiti

UiTM lancar Pelan Strategik UiTM2030 pacu transformasi universiti

SHAH ALAM – Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini melancarkan Pelan Strategik UiTM2030 bagi tempoh 2026 hingga 2030 sebagai panduan utama dalam memacu transformasi universiti ke arah institusi pendidikan tinggi yang lebih unggul, dinamik dan berimpak.

Majlis pelancaran berkenaan menghimpunkan barisan kepimpinan tertinggi serta warga UiTM bagi menyatakan komitmen bersama terhadap agenda transformasi universiti untuk tempoh lima tahun akan datang.

Pelan Strategik UiTM2030 dirangka bagi menggerakkan usaha transformasi universiti secara lebih tersusun, berfokus dan berimpak selaras dengan perubahan landskap pendidikan tinggi, perkembangan teknologi serta keperluan semasa negara dan masyarakat.

UiTM dalam kenyataan berkata pelan berkenaan turut mencerminkan iltizam universiti untuk menyatukan kekuatan dan potensi seluruh warganya dalam menjayakan aspirasi institusi.

“Setiap warga memainkan peranan penting dalam membina kecemerlangan institusi menerusi perancangan strategik yang jelas serta hala tuju yang dikongsi bersama,” menurut kenyataan itu.

Menurut UiTM, pelan strategik berkenaan menjadi asas kepada universiti untuk terus memperkukuh daya tahan, kemajuan dan kesediaan dalam menghadapi tuntutan masa hadapan.

Majlis itu dihadiri Pro-Canselor UiTM Tan Sri Datuk Sri Haji Mohd Khamil Jamil; Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UiTM serta Ahli-ahli LPU.

Hadir sama Naib Canselor UiTM Profesor Datuk Ts Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin, FASc.; barisan Pengurusan Eksekutif Universiti, rektor, dekan serta warga UiTM.

Photo credit: Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *