Home / Kampus / UIAM, TNR Energy Resources meterai RCA bangunkan sistem mekanisasi robotik

UIAM, TNR Energy Resources meterai RCA bangunkan sistem mekanisasi robotik

GOMBAK Kulliyyah Kejuruteraan (KoE), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan TNR Energy Resources Sdn Bhd memeterai Perjanjian Kerjasama Penyelidikan (RCA) bagi membangunkan sistem mekanisasi robotik yang mampu beroperasi di kawasan muka bumi yang sukar diakses manusia dan mesin konvensional.

Kerjasama menerusi projek Pembangunan dan Pelaksanaan Sistem Mekanisasi Robotik untuk Kawasan Muka Bumi Sukar’ itu bertujuan menggabungkan kepakaran penyelidikan UIAM dengan keperluan industri bagi menghasilkan teknologi robotik yang bersesuaian dengan keadaan operasi sebenar.

Projek berkenaan memberi tumpuan kepada pembangunan sistem yang boleh digunakan di kawasan mencabar seperti cerun curam, permukaan tidak rata dan kasar serta persekitaran yang mempunyai risiko atau kesukaran untuk dikendalikan secara konvensional.

Menerusi kerjasama itu, kepakaran warga akademik khususnya dalam bidang mekatronik di UIAM dapat dimanfaatkan dalam pembangunan sistem robotik yang berupaya menyokong pelaksanaan operasi di kawasan berkenaan.

Selain pembangunan teknologi, kedua-dua pihak turut memberi penekanan terhadap aspek pemindahan teknologi bagi memastikan hasil penyelidikan dapat diterjemahkan kepada penyelesaian yang memenuhi keperluan industri.

Satu jawatankuasa bersama turut diwujudkan bagi menyelaras hala tuju dan pelaksanaan projek serta memastikan semua aktiviti penyelidikan dilaksanakan berdasarkan matlamat yang dipersetujui.

RCA berkenaan ditandatangani Timbalan Rektor (Akademik dan Pengantarabangsaan) UIAM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Faris Ismail bersama Dekan KoE, Prof Madya Dr. Khairul Azami Sidek, manakala TNR Energy Resources Sdn Bhd diwakili Penasihatnya, Chua Jing Yit dan Datuk Ng Kok Tai.

Kerjasama itu mencerminkan komitmen UIAM dalam memperkukuh jaringan penyelidikan bersama industri, khususnya dalam menghasilkan penyelesaian teknologi robotik yang berupaya menangani cabaran operasi di kawasan muka bumi sukar diakses.

Photo credit: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *