oleh Aris Zakaria
KUALA TERENGGANU– University College Bestari (UC Bestari) menyemarakkan Sambutan Hari Kebangsaan 2026 peringkat Negeri Terengganu menerusi penyertaan dalam Perarakan dan Perbarisan yang berlangsung di sekitar Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan Dataran Shah Bandar, baru-baru ini.
Kontinjen UC Bestari yang disertai pensyarah dan pelajar daripada beberapa fakulti serta bidang pengajian mengambil bahagian dalam kategori tidak bertanding sebagai tanda sokongan terhadap sambutan kemerdekaan dan manifestasi semangat cintakan negara.
Kontinjen itu menampilkan barisan pensyarah dan pembawa bendera di hadapan, diikuti pelajar yang mengenakan pakaian seragam bidang masing-masing termasuk Kejururawatan dan Kulinari, manakala empat pengiring berpakaian seragam DEC melengkapkan perbarisan.
Penyertaan turut diserikan dengan 40 Jalur Gemilang bersaiz kecil serta tiga maskot, iaitu Robot AI, My Little Pony dan Kuromi yang menarik perhatian orang ramai sepanjang laluan perarakan.
Persediaan kontinjen dimulakan menerusi latihan dalaman pada 26 Ogos sebelum menyertai raptai penuh pada 29 Ogos bagi memastikan kelancaran penyertaan pada sambutan Hari Kebangsaan.
Penyertaan berkenaan bukan sahaja memberi pengalaman kepada pelajar, malah menjadi platform membentuk nilai patriotisme, disiplin, kerjasama dan semangat kebersamaan dalam kalangan warga UC Bestari.
Ia selari dengan usaha institusi melahirkan generasi muda yang bukan sahaja memiliki ilmu dan kemahiran profesional, tetapi turut mempunyai jati diri serta rasa tanggungjawab terhadap negara.


Leave a Reply