oleh Mohd Rizal Azman Rifin
Jika suatu ketika dahulu, kebanyakan masyarakat memandang lulusan aliran kemahiran vokasional dan teknik (TVET) sebagai golongan kelas kedua. Tetapi kini selari dengan peredaran masa, masyarakat mula beralih tanggapan, memandangkan sektor industri sentiasa memerlukan golongan seperti ini.
Sejajar dengan aliran pembangunan negara yang pesat dalam sektor ekonomi khususnya industri, tenaga manusia yang memiliki kemahiran dan kecekapan dalam TVET sangat diperlukan. Maka, tidak hairanlah mengapa pihak pemerintah menerusi pelbagai agensi khususnya Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi sentiasa memberi penekanan terhadap pendidikan TVET.
Kehadiran politeknik Malaysia misalnya banyak memberikan peluang kepada anak muda lepasan sekolah bagi meraih ilmu dan kemahiran dalam pelbagai bidang. Lebih menarik lagi apabila para graduan politeknik Malaysia juga dibuka ruang dan peluang untuk menyambung pelajaran ke peringkat tertinggi di universiti awam. Wujudnya universiti-universiti awam yang berteraskan ilmu dan kemahiran teknikal seperti Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Parit Raja, Johor perlu dilihat sebagai pendekatan bijak dalam memperkasakan sistem pendidikan beraliran TVET.
Demikian juga dengan beberapa universiti awam yang lain seperti Universiti Malaysia Perlis(Unimap), Universiti Malaysia Pahang (UMPSA) dan juga Universiti Teknikal Malaysia Melaka(UTEM) adalah antara universiti awam yang sentiasa menjadi tumpuan para graduan TVET untuk melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat ijazah.
Malah, beberapa politeknik sudahpun menawarkan pengajian berasaskan TVET itu sehingga ke peringkat Ijazah. Misalnya, di Politeknik Ungku Omar di Ipoh, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam, Selangor, dan beberapa buah politeknik lagi.
Jadi, ruang dan peluang untuk melanjutkan pengajian TVET masa kini bukan setakat di tahap sijil dan diploma semata-mata. Maka, rebutlah peluang terbuka luas yang disediakan itu demi mencapai kecemerlangan diri dalam kerjaya masa depan.
Justeru, kini tidak ada lagi diskriminasi dalam sistem pendidikan tinggi di negara kita kerana semua aliran diberikan peluang yang sama rata untuk diraih. Menurut Pensyarah Utama, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal PMS Dr Mohd Shahril Mohd Hassan @ Abdul Ghani belajar dan memiliki ilmu serta kemahiran berasaskan TVET adalah suatu kelebihan masakini. Ia amat bernilai tinggi untuk merebut peluang bekerja dalam pelbagai sektor khususnya industri.
Katanya lagi, ‘Pada masa ini tidak perlu lagi ada perasaan rendah diri dan beranggapan belajar TVET seperti belajar di politeknik sebagai ‘tempat terbuang’ yang bertaraf rendah. Ini kerana pelajar dan graduan TVET sebenarnya lebih bernilai daripada rakan mereka di aliran arus perdana. Masa ini menunjukkan kemahiran dan kecekapan dalam TVET suatu keperluan dan situasi sebegini sewajar nya direbut oleh semua generasi muda.’
‘Kikis sehabisnya rasa rendah diri, sebaliknya berbanggalah dan berasalah betapa beruntungnya diri kerana dapat belajar dalam aliran TVET yang bakal menyediakan peluang kerjaya yang menjanjikan masa depan yang cerah. Lebih daripada itu, kami di sini juga sentiasa meniupkan semangat buat para pelajar supaya berusaha menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi di universiti awam kerana para graduan TVET seperti lepasan politeknik lebih mudah untuk diterima masuk. Ini bermakna belajar di politeknik boleh dijadikan batu loncatan untuk ke peringkat tertinggi yang didayai. Jadi, mengapakah perlu perapkan dalam diri perasaan diri bahawa diri dalam kategori ‘kasta rendah’ dalam pemerolehan pendidikan. ‘
Sementara itu, Khairil Che Mat selaku Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal memberitahu bahawa pihak industri masa kini amat memerlukan tenaga manusia yang berkemahiran tinggi dalam TVET dan sudah tentu mereka yang lulus di politeknik menjadi rebutan kami. ‘Kami sedia mengetahui bahawa para graduan politeknik bukan calang-calang kerana mereka diberikan ilmu yang bukan hanya berligar dalam skop teori semata-mata, sebaliknya lebih banyak didedahkan dengan praktikal. Lebih dari itu, latihan industri juga menjadi satu platform penanda aras dalam kami menilai keupayaan dan kecekapan para lepasan TVET. Selama ini, apa yang saya lihat kerjasama erat antara politeknik Malaysia dengan pihak industri sangat baik dan ini suatu perkembangan sihat dalam memperkasakan aliran TVET negara.’
Sebenarnya perkembangan pendidikan dalam aliran Vokasional dan Latihan Teknikal belum setaraf dengan negara-negara maju yang lain. Pada masa ini di negara-negara maju, 70 peratus pelajarnya memilih pendidikan dalam aliran TVET, baik di peringkat sekolah mahupun di peringkat institusi kemahiran. Situasi itu berlaku kerana TVET menyediakan ruang kerjaya yang cerah.
Berlainan dengan situasi di negara kita yang mana masyarakat baru menyedari bahawa TVET adalah aliran pendidikan yang memiliki ciri tersendiri yang menjanjikan masa depan yang lebih baik. Stigma masyarakat yang lebih berfikiran tradisional dengan menganggap golongan pelajar aliran TVET terdiri daripada mereka yang gagal menguasai akademik semakin berkurangan. Ini berkat usaha dan pendekatan semua pihak yang berkaitan untuk menjadikan pendidikan aliran TVET sebagai satu pilihan bijak buat pelajar.
Sebenarnya terdapat banyak kursus pengajian berbentuk kemahiran dan teknikal yang dianjurkan oleh pelbagai institusi berasaskan TVET. Di Politeknik Malaysia misalnya para pelajar boleh memilih aneka jurusan baik dalam kemahiran kejuruteraan awam, elektronik mahupun kejuruteraan mekanikal. Selain itu jurusan perdagangan, pelancongan, seni visual malah jurusan kulinari sekalipun disediakan untuk para pelajar.
Kini, tiada sebab untuk lepasan sekolah yang mahu memperdalamkan ilmu dan kemahiran dalam bidang bidang yang mereka minati. Asalkan ada kemahuan, segalanya mampu dijayakan. Fikir TVET, Fikir Masa depan!
Penulis merupakan Pensyarah Utama di Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah
Leave a Reply