oleh Dr Salmiwati Othman
Universiti merupakan pusat kecemerlangan akademik, penyelidikan, dan inovasi. Namun begitu, di sebalik kemudahan infra yang serba moden serta ribuan aktiviti harian yang berlangsung, wujud pelbagai risiko keselamatan dan kesihatan yang perlu diuruskan dengan teliti.
Daripada pengendalian bahan kimia di makmal sains, pengoperasian mesin di unit ladang, pengurusan kenderaan, penginapan asrama pelajar hingga kepada aspek ergonomik staf pentadbiran dan kebajikan kerja harian, persekitaran kampus merangkumi pelbagai spektrum risiko.
UiTM Cawangan Sabah telah menjalani audit kesihatan dan keselamatan yang telah dikendalikan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negeri Sabah. Inisiatif ini dilaksanakan selaras dengan kehendak perundangan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) serta aspirasi membudayakan amalan kerja yang selamat dan sihat di tempat kerja. Selain itu, lawatan ini adalah bertujuan untuk meninjau struktur dan fungsi pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di UiTM Cawangan Sabah.
UiTM Cawangan Sabah sangat komited dalam memastikan kampus ini berada dalam keadaan selamat. Berdasarkan kepada dapatan audit tersebut, ianya dapat menambahbaik tempat kerja dari segi penyimpanan bahan kimia yang bernilai tinggi serta pengurusan kenderaan universiti yang perlu diberikan perhatian khusus.
Malahan, penumpuan juga telah diberikan terkait aspek kesihatan ergonomik dan psikososial staf. Isu utama yang dikenalpasti adalah melibatkan penggunaan komputer secara berpanjangan oleh staf pentadbiran dan akademik yang boleh membawa kepada masalah otot-rangka (musculoskeletal disorders), serta isu tekanan kerja.
Dapatan audit tersebut telah memberikan warga kampus perlu menilai sendiri stesen kerja masing-masing melalui Self Assessment Musculoskeletal Pain / Discomfort Survey Form. Bahagian pentadbiran perlu mengesyorkan program kesihatan pekerjaan (occupational health) yang inklusif untuk kesejahteraan mental dan fizikal warga universiti.
Secara keseluruhannya, audit kesihatan dan keselamatan pekerja bukan sekadar rutin, sebaliknya merupakan tonggak utama dalam melestarikan ekosistem kampus yang selamat dan kondusif. Apabila aspek keselamatan diutamakan, warga universiti meliputi ahli akademik, staf sokongan, sehinggalah para pelajar, warga universiti dapat beroperasi dan menuntut ilmu dalam suasana yang tenang dan sejahtera. Oleh itu, “Kampus Selamat, Warga Sejahtera” harus terus dihayati sebagai komitmen bersama seluruh warga universiti demi kecemerlangan yang berterusan.
Penulis merupakan Ketua Pentadbiran dan ahli berdaftar Institut Pengurusan Sumber Manusia Malaysia (MIHRM), Bahagian Pentadbiran, UiTM Cawangan Sabah


Leave a Reply