oleh Dr Nurulhayati Ilias
Telefon pintar sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan mahasiswa hari ini. Bangun saja daripada tidur, telefon dicapai dulu. Sementara menunggu kelas bermula, skrin ditatap. Ketika waktu makan, tangan masih menatal telefon. Malahan, sebelum tidur pun, masih ramai kembali mengadap skrin walaupun hari sudah lewat malam. Dalam dunia pendidikan yang semakin digital, keadaan ini sebenarnya tidak menghairankan.
Teknologi sememangnya banyak membantu mahasiswa. Telefon pintar, komputer dan tablet digunakan untuk mencari maklumat, membaca bahan kuliah, menyiapkan tugasan dan berkomunikasi. Namun, apabila terlalu banyak masa dihabiskan di hadapan skrin, manfaat teknologi mungkin datang bersama kesan lain yang perlu kita berikan perhatian.
Satu systematic review dan meta-analysis yang diterbitkan dalam jurnal BMC Public Health pada tahun 2026 memberikan gambaran yang agak membimbangkan. Kajian oleh Zeng dan rakan-rakan itu menggabungkan 72 kajian dari 27 negara melibatkan seramai 71,633 mahasiswa. Secara keseluruhannya, masa skrin yang lebih panjang didapati mempunyai hubungan dengan beberapa masalah termasuk anxiety, stres, kualiti tidur yang lebih buruk dan prestasi akademik yang lebih rendah.
Bukan mudah untuk meminta pelajar yang menghadapi masalah mental seperti anxiety dan stres untuk tinggakan semua permasalahan itu di luar pintu bilik kuliah. Seorang mahasiswa mungkin hadir ke kelas, duduk di hadapan pensyarah dan membuka buku atau komputer seperti biasa. Namun, kehadiran secara fizikal tidak semestinya bermaksud dia berada dalam keadaan mental yang terbaik untuk belajar.
Mahasiswa hari ini sememangnya berhadapan dengan pelbagai tekanan. Tugasan perlu disiapkan, pembentangan perlu dilakukan dan peperiksaan perlu dihadapi. Dalam masa yang sama, kehidupan mereka terus dipenuhi dengan skrin. Apabila ada masa terluang beberapa minit sekalipun, telefon sering menjadi perkara pertama yang dicapai. Keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila penggunaan skrin berlanjutan sehingga waktu tidur.
Kajian mendapati masa skrin yang lebih panjang mempunyai hubungan dengan kualiti tidur yang semakin buruk. Malah, apabila masa skrin harian melebihi kira-kira tiga jam, risiko kualiti tidur yang buruk meningkat dengan lebih ketara.
Situasi ini bukan sesuatu yang asing dalam kehidupan mahasiswa. Seseorang mungkin berniat melihat telefon selama beberapa minit sebelum tidur. Namun, beberapa minit boleh bertukar menjadi setengah jam atau lebih. Apabila tidur semakin lewat sedangkan kelas tetap bermula pada waktu pagi, mahasiswa mungkin datang ke kuliah dalam keadaan letih dan mengantuk.
Di sinilah isu masa skrin mula menjadi isu pendidikan. Pensyarah boleh menyediakan bahan pengajaran yang menarik, menggunakan teknologi, mengadakan aktiviti berkumpulan dan mencuba pelbagai kaedah untuk menarik perhatian mahasiswa. Namun, proses pembelajaran memerlukan mahasiswa yang bersedia untuk memberikan perhatian, memproses maklumat dan melibatkan diri dalam aktiviti pembelajaran.
Apabila seseorang datang ke kelas dalam keadaan kurang tidur, tertekan atau resah, proses tersebut tentunya menjadi lebih mencabar. Lebih membimbangkan, analisis yang sama turut menunjukkan hubungan antara masa skrin dengan prestasi akademik. Mahasiswa dalam kumpulan masa skrin yang lebih tinggi mempunyai 1.79 kali odds untuk menunjukkan prestasi akademik yang lebih rendah berbanding kumpulan yang mempunyai masa skrin lebih rendah.
Ini tidak bermaksud kita boleh menyimpulkan bahawa telefon pintar menyebabkan seseorang mahasiswa mendapat keputusan yang rendah. Banyak faktor lain mempengaruhi pencapaian akademik termasuk motivasi, latar belakang, kesihatan, kaedah belajar dan persekitaran pembelajaran. Malah, sebahagian besar kajian yang dianalisis tidak dapat menentukan hubungan sebab dan akibat secara langsung. Namun, dapatan kajian melibatkan lebih 71,000 mahasiswa ini telah memberikan satu isyarat yang tidak seharusnya dipandang ringan.
Mungkin sudah tiba masanya kita berhenti melihat masalah penggunaan skrin mahasiswa sebagai sekadar tabiat generasi muda. Jika penggunaan yang tinggi mempunyai hubungan dengan anxiety, stres, tidur yang kurang berkualiti dan prestasi akademik yang lebih rendah, isu ini juga mempunyai kaitan dengan apa yang berlaku di dalam bilik kuliah.
Pada masa yang sama, penyelesaiannya bukanlah dengan mengharamkan telefon pintar atau meminta mahasiswa meninggalkan teknologi. Pendekatan seperti itu tidak lagi realistik. Pendidikan universiti sendiri sangat bergantung kepada teknologi digital. Apa yang lebih penting ialah membina kesedaran tentang penggunaan yang terkawal. Mahasiswa perlu belajar menguruskan masa skrin sebagaimana mereka belajar menguruskan masa untuk tugasan, peperiksaan dan aktiviti lain. Mereka juga perlu memahami bahawa berehat daripada skrin, terutama menjelang waktu tidur, bukan bermaksud menjauhkan diri daripada teknologi. Ia merupakan sebahagian daripada menjaga kesediaan diri untuk belajar.
Pihak universiti juga boleh memainkan peranan. Program kesejahteraan mahasiswa tidak seharusnya hanya memberikan perhatian kepada pengurusan stres atau kemahiran belajar. Pengurusan kehidupan digital juga semakin relevan. Kesedaran mengenai masa skrin, kepentingan tidur dan penggunaan teknologi secara seimbang boleh menjadi sebahagian daripada usaha membantu mahasiswa menguruskan kehidupan universiti.
Dalam era digital, persoalannya bukan lagi sama ada mahasiswa patut menggunakan teknologi. Mereka memang memerlukannya. Persoalan yang lebih penting ialah sama ada mereka masih mengawal teknologi tersebut, atau teknologi itu perlahan-lahan mula mengawal masa, rehat dan perhatian mereka.
Kerana akhirnya, mahasiswa yang hadir ke bilik kuliah bukan sekadar memerlukan tempat duduk, nota dan pensyarah yang baik. Mereka juga memerlukan minda yang cukup tenang, tubuh yang cukup berehat dan perhatian yang cukup untuk belajar.
Penulis merupakan pensyarah di Kolej Poly-Tech MARA Ipoh


Leave a Reply