Home / Kampus / Sumbangan alumni bantu mahasiswa UUM hadapi cabaran kewangan

Sumbangan alumni bantu mahasiswa UUM hadapi cabaran kewangan

oleh Editorial KampusKini

SINTOK– Sumbangan alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) terus menjadi antara sumber penting dalam membantu mahasiswa yang berdepan kekangan kewangan, masalah kesihatan dan cabaran lain sepanjang pengajian.

Naib Canselor UUM Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata sumbangan berkenaan amat bermakna dalam membantu mahasiswa meneruskan pengajian serta meningkatkan kecemerlangan akademik mereka.

Beliau berkata Majlis Makan Malam Amal Alumni UUM yang diadakan sempena Mai Balik UUM 2.0 turut membawa misi mengumpulkan dana bagi Tabung Kebajikan Pelajar UUM untuk membantu lebih ramai mahasiswa yang memerlukan pada masa hadapan.

“Sesungguhnya, sumbangan daripada para alumni sangat bermakna dalam membantu anak-anak UUM, terutama meningkatkan lagi kecemerlangan pendidikan mereka ketika mereka belajar di UUM,” katanya ketika berucap pada majlis itu di Dewan Mu’adzam Shah, UUM, baru-baru ini.

Ahmad Martadha berkata tidak semua mahasiswa melalui perjalanan pengajian yang mudah kerana sebahagian daripada mereka berdepan pelbagai cabaran yang boleh menjejaskan kehidupan dan pengajian.

“Justeru, melalui sumbangan para alumni pada malam ini, kita berharap dapat meringankan sedikit beban mereka agar mereka dapat meneruskan pengajian dengan lebih baik dan menamatkan pengajian dengan jayanya,” katanya.

Dalam pada itu, majlis berkenaan turut menyaksikan pelancaran buku Strategi Komunikasi Kerajaan dalam Pelaksanaan Sistem Percukaian GST di Malaysia, hasil penulisan Datuk Seri Dr Ahmad Maslan bersama Prof Madya Dr Nik Adzrieman Abdul Rahman dan Dr Suhaini Muda.

Buku itu membincangkan kepentingan komunikasi kerajaan dalam pelaksanaan dasar awam, khususnya dalam memastikan sesuatu dasar dapat difahami dan diterima masyarakat.

Pada majlis sama, Ahmad Martadha turut melancarkan aplikasi Mobile Alumni Management Information System (AMIS) sebagai langkah Pusat Alumni UUM memperkukuh pengurusan data dan hubungan dengan komuniti alumni.

Aplikasi berkenaan dijangka membantu memastikan hubungan antara alumni dan universiti terus diperkasa seiring perkembangan komuniti alumni UUM.

Turut hadir Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim yang mewakili Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti, Pengarah Pusat Alumni UUM Prof Madya Dr Lily Julienti Abu Bakar serta pegawai kanan universiti dan alumni.

Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Universiti Utara Malaysia (UUM)

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *