Home / Sukan / SUKIPT 2026 medan lahir atlet mahasiswa bertaraf dunia

SUKIPT 2026 medan lahir atlet mahasiswa bertaraf dunia

KUALA LUMPUR, 30 Ogos 2026 Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 menjadi medan untuk mahasiswa membuktikan kemampuan mengimbangi kecemerlangan akademik dan sukan, sekali gus membuka laluan melahirkan atlet yang mampu mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata sukan merupakan wahana penting dalam membentuk generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang keilmuan, malah mampu menyumbang kepada pembangunan sukan negara.

“Empat mahasiswa Malaysia membuktikan mereka mampu bersaing dengan yang terbaik di dunia dan menempa kejayaan di Sukan Komanwel Glasgow,” katanya ketika merasmikan SUKIPT 2026 di UM Arena, Universiti Malaya (UM), semalam.

Beliau berkata kejayaan atlet daripada institusi pendidikan tinggi (IPT) di peringkat antarabangsa membuktikan mahasiswa mampu mengimbangi tuntutan akademik dengan kecemerlangan sukan.

Menurutnya, antara contoh ialah Khieu Hoe Yean dari UCSI University dan Wong Ling Ching dari Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang mencipta kejayaan pada Sukan Universiti Dunia 2025.

Katanya, pencapaian mahasiswa IPT pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 turut membuktikan potensi berkenaan apabila Muhammad Erry Hidayat dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Muhammad Aniq Kasdan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) masing-masing memenangi pingat emas dalam acara angkat berat.

“Amir Daniel Abdul Majid dari Universiti Sains Malaysia pula mencipta sejarah sebagai atlet Malaysia pertama memenangi emas judo di Sukan Komanwel,” katanya.

Dr. Zambry berkata tahun ini turut menyaksikan atlet IPT memecahkan rekod kebangsaan, antaranya Umar Osman dari Politeknik Sultan Ibrahim dalam acara 400 meter lelaki, Muhammad Fakhrul Afizul Nasir dari UPM dalam acara 400 meter berpagar lelaki serta jaguh muda Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Danish Iftikhar Muhammad Rosli yang memecahkan dua rekod SUKMA dalam acara 100 meter dan 4 x 100 meter.

SUKIPT 2026 bertemakan “Mencipta Legasi Juara” berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September dengan penyertaan 64 kontinjen melibatkan 7,697 atlet yang beraksi dalam pertandingan menawarkan 229 pingat emas.

Pertandingan itu turut mendapat sokongan kira-kira 2,000 pegawai teknikal dan 750 sukarelawan serta mempertandingkan pelbagai jenis sukan di beberapa venue sekitar Kuala Lumpur.

Dr. Zambry berkata edisi ketujuh SUKIPT turut menjadi platform menghimpunkan mahasiswa daripada universiti awam, universiti swasta, politeknik dan kolej komuniti untuk berinteraksi serta menyemarakkan semangat kesukanan dalam kalangan warga IPT.

Beliau turut menyeru para atlet supaya membawa semangat kesukanan dan kemerdekaan dengan berjuang bersungguh-sungguh, menghormati lawan serta menjadikan ilmu dan sukan sebagai asas dalam membina masa depan negara.

SUKIPT 2026 menyediakan insentif RM3,000 kepada Olahragawan dan Olahragawati, RM7,000 bagi Pasukan Terbaik Lelaki dan Wanita serta RM20,000 kepada atlet yang memecahkan rekod kebangsaan baharu.

Upacara perasmian turut menyaksikan atlet pickleball UM, Muhammad Farreez Isqandar Abdul Rais, tampil sebagai pembaca ikrar atlet, manakala obor ikonik SUKIPT dibawa secara larian berganti-ganti oleh lima atlet UM.

Majlis Penutupan Rasmi SUKIPT 2026 dijadual berlangsung pada 6 September di Dewan Tunku Canselor (DTC), UM dan akan disempurnakan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Ahmad Rizal Adnan; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah serta Naib Canselor UM, Dato’ Seri Prof. Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman.

Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *