Oleh Ahmad Safarman Dollah
KOTA BHARU – Sekolah Kebangsaan (SK) Mentera menghargai lebih tiga dekad khidmat bakti guru prasekolahnya, Khalipah Salleh menerusi Majlis Kasih Disemai, Kenangan Dituai yang berlangsung di Dewan Aman Perdana, baru-baru ini.
Khalipah menamatkan perkhidmatan sebagai guru prasekolah selepas berkhidmat selama 31 tahun, lapan bulan dan 30 hari, dengan sebahagian besar tempoh perkhidmatannya dicurahkan di SK Mentera.
Guru Besar SK Mentera, Ruzaini Ab Sattar berkata sumbangan dan komitmen Khalipah dalam mendidik serta membimbing murid prasekolah amat dihargai warga sekolah.
Beliau berkata jasa guru berkenaan bukan sahaja tertumpu kepada penyampaian ilmu, malah turut merangkumi pembentukan asas sahsiah dan perkembangan murid pada peringkat awal pendidikan.
Majlis penghargaan itu turut diserikan dengan perarakan masuk Khalipah ke Dewan Aman Perdana sebelum beliau menerima selempang daripada Ruzaini.
Suasana majlis bertambah sebak menerusi persembahan lagu Langkah Seiringan oleh murid berusia 11 tahun, Ahmad Fahim Wafiyyuddin, selain tayangan montaj yang memaparkan perjalanan dan kenangan Khalipah sepanjang berkhidmat di sekolah berkenaan.
Majlis turut diisi dengan bacaan doa, ucapan wakil murid dan guru, persembahan tarian serta penyampaian hadiah dan cenderamata sebagai tanda penghargaan.
Khalipah berkata persaraan bukan noktah kepada perjalanan hidupnya, sebaliknya menjadi permulaan kepada fasa baharu yang lebih bahagia.
“Setiap penat lelah menjadi sejarah yang amat dihargai,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis itu.
Khalipah mendapat pendidikan di Maktab Perguruan Islam Bangi dari 1992 hingga 1994 sebelum memulakan kerjaya dalam bidang pendidikan dan kemudiannya ditempatkan di SK Mentera.
Majlis berakhir dengan sesi bersalaman dan bergambar bersama warga sekolah sebagai kenangan terakhir sebelum Khalipah melangkah ke fasa baharu kehidupannya.


Leave a Reply