oleh Editorial KampusKini
AMMAN – Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Emeritus Datuk Sri Dr Osman Bakar menerima King Abdullah II ibn Al Hussein Order for Distinction Darjah Pertama, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam bidang keilmuan Islam dan usaha memperjuangkan kepentingan umat Islam di peringkat antarabangsa.
Anugerah kebesaran Diraja Jordan itu disampaikan oleh Duli Yang Teramat Mulia Putera Mahkota Al Hussein bin Abdullah II, yang menjalankan tugas sebagai Pemangku Raja mewakili Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Abdullah II, pada majlis penghormatan di Istana Al Husseiniya, di sini, 9 September lepas.
Osman Bakar merupakan antara tiga sarjana yang menerima pengiktirafan berkenaan pada majlis tersebut, bersama Shaikh Ahmed bin Saud al Siyabi dari Oman dan Ahmed Shawki Benbin dari Maghribi.
Pengiktirafan itu diberikan sempena Persidangan Umum ke-19 Royal Aal al-Bayt Institute for Islamic Thought (RABIIT) yang menghimpunkan sarjana Islam terkemuka dari pelbagai negara dan tradisi intelektual.
Persidangan tiga hari yang berlangsung di Amman itu bertemakan “The Ummah’s Priorities for the Next 25 Years (2026–2050)” atau “Keutamaan Ummah untuk 25 Tahun Akan Datang (2026–2050)”.
Lebih 70 sarjana daripada Royal Aal al-Bayt Academy yang mewakili institusi daripada pelbagai mazhab, aliran pemikiran dan tradisi intelektual dari 30 negara menyertai persidangan berkenaan.
Persidangan tersebut menjadi platform perbincangan mengenai isu semasa berkaitan Islam serta usaha merangka pandangan dan penyelesaian terhadap cabaran yang dihadapi umat Islam bagi tempoh 25 tahun akan datang.
Dalam majlis sama, Putera Mahkota Al Hussein turut menyampaikan sijil keahlian RABIIT kepada beberapa sarjana dan tokoh akademik termasuk Setiausaha Agung International Islamic Fiqh Academy di Jeddah Prof Emeritus Dato’ Dr Sano Koutoub Moustapha yang juga Ahli Lembaga Gabenor (BOG) UIAM.
Hadir sama Duli Yang Teramat Mulia Putera Hashim Al Hussein dan Putera Ghazi Muhammad, Penasihat Utama Raja Abdullah II bagi Hal Ehwal Keagamaan dan Kebudayaan serta utusan peribadi baginda merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah RABIIT.
Photo credit dan sumber: Facebook rasmi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)


Leave a Reply