TANJONG MALIM – Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) menyemarakkan semangat patriotisme menerusi Sambutan Bulan Kebangsaan 2026 peringkat institusi yang berlangsung di Padang PSAS di sini dengan mengetengahkan tema “Semangat Merdeka, Jiwa Patriotik, Aspirasi PSAS Tersohor”.
Sambutan berkenaan menjadi lebih istimewa apabila buat julung kalinya seluruh warga PSAS berhimpun bersama bagi menyemarakkan semangat kemerdekaan, menyuburkan rasa cinta kepada negara serta memperkukuh nilai kebersamaan sebagai sebuah komuniti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Majlis disempurnakan Pengarah PSAS Haji Razali Johari bersama barisan pengurusan dan tetamu jemputan daripada agensi keselamatan serta kerajaan di daerah Muallim.
Antara yang hadir ialah Ketua Polis Daerah Muallim Superintenden Khalid Mohamad; Pegawai Pertahanan Awam Daerah Muallim Kapt. (PA) Shahrizal Hussin; Penolong Pegawai RELA Daerah Muallim Penolong Penguasa Kanan RELA (PPgKR) Mohd Saufi Shaari serta Ketua Kompeni Delta, Batalion 3, Rejimen 503 Askar Wataniah Mejar Mohamad Rani Md Zin.
Program berkenaan turut memperkukuh sinergi antara institusi TVET dengan agensi kerajaan di daerah Muallim menerusi penglibatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen).
Antara pengisian sambutan termasuk persembahan Pancaragam APM yang diketuai Leftenan Muda (PA) Mohamad Remjan, perarakan kontinjen badan beruniform bersama pancaragam serta persembahan deklamasi sajak yang menyuntik semangat patriotik dalam kalangan warga PSAS.
Sambutan turut menyaksikan penyampaian Anugerah Khas Merdeka 2026 sebagai penghargaan kepada warga PSAS yang menunjukkan nilai, komitmen dan sumbangan positif dalam menyemarakkan semangat kemerdekaan di peringkat institusi.
Bagi kategori staf, anugerah itu diterima Mejar Bersekutu (PA) Ts Mohammad Adhar Hj Mohammad Narsardin dari Jabatan Kejuruteraan Elektrik (JKE), manakala kategori pelajar diberikan kepada Muhammad Syahmi Jazmi Jamhari dari Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM).
Kemeriahan sambutan turut dimulakan menerusi program Tayangan Wayang Pacak pada malam 18 Ogos hasil kerjasama PSAS dengan Jabatan Penerangan Malaysia Daerah Muallim.
Program berkenaan menjadi wadah interaksi antara warga PSAS dan komuniti setempat dalam menghayati nilai sejarah, kebersamaan serta patriotisme.
Sambutan Bulan Kebangsaan 2026 peringkat PSAS bukan sahaja menjadi platform menyemarakkan semangat kemerdekaan, malah turut menyumbang kepada usaha menyemai jati diri, kecintaan kepada negara dan semangat kebersamaan dalam kalangan warga institusi.
Photo credit: Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS)


Leave a Reply