Home / Gaya hidup / 1,500 peserta sertai Jom Brisk Walk @ Sawit 2026 anjuran UKM

1,500 peserta sertai Jom Brisk Walk @ Sawit 2026 anjuran UKM

BANGI Kira-kira 1,500 peserta terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah, guru, ibu bapa, komuniti setempat serta warga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyertai Program Jom Brisk Walk @ Sawit 2026, yang antara lain bertujuan memberi pendedahan kepada generasi muda mengenai kepentingan industri sawit kepada negara.

Program julung kali anjuran Kursi Endowmen MPOB-UKM itu berlangsung di Pusat PERMATA@Pintar Negara, Ladang Sawit UKM dan Hutan Pendidikan Alam UKM.

Program berkenaan dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi), Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), Datuk Razali Mohamad bersama Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Sufian Jusoh dan Timbalan Ketua Pengarah (Perkhidmatan), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr. Zaki Aman.

Razali berkata, penganjuran program itu bukan sahaja menggalakkan amalan gaya hidup sihat, malah menggunakan pendekatan pendidikan tidak formal yang santai dan interaktif bagi meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai peranan serta sumbangan industri sawit kepada negara.

Antara pengisian yang disediakan ialah aktiviti brisk walk melalui kawasan Ladang Sawit UKM dan Hutan Pendidikan Alam UKM, senamrobik, Pocket Talk berkaitan industri sawit, Kuiz Kahoot!, Dam Sawit Junior serta sesi Meet & Greet bersama Upin & Ipin.

Program turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada pemenang Palm Oil Innovation Challenge 2026, sekali gus memberi ruang kepada peserta mengenali aspek inovasi dan potensi industri sawit dengan lebih dekat.

Penganjuran Jom Brisk Walk @ Sawit 2026 turut mendapat kerjasama pelbagai pusat, fakulti dan entiti di UKM termasuk Hal Ehwal Jaringan Industri dan Komuniti (HEJIM), Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UKM-YSD Chair for Sustainability, Permata@Pintar UKM, Pusat Pengurusan Penjanaan (JANA@UKM), Pusat Kesihatan Universiti dan Pusat Sukan.

Turut terlibat Pusat Pengurusan Risiko, Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (ROSH-UKM), Yayasan Canselor UKM, Kursi Yayasan Tun Ismail Mohamed Ali (YTI@UKM), Dana Endowmen Halal UKM (DEEH), Kesatuan Mahasiswa UKM (KMUKM), Persatuan Wanita UKM (SUKMANITA) dan Malaysia Sustainable Palm Oil (MSPO).

Program berkenaan turut menerima sokongan dan penajaan daripada pelbagai institusi serta syarikat termasuk Mamee-Double Decker (M) Sdn. Bhd., SD Guthrie Berhad, Fraser & Neave Holdings Bhd. (F&N), Bubbles, Miaow Miaow, Usaha Kekal Enterprise, VIDA, ZUS Coffee, Wira Fresh dan Believe Fitness.

Menurut penganjur, program itu diharap dapat memperkukuh kefahaman masyarakat, khususnya generasi muda, mengenai peranan dan sumbangan industri sawit kepada pembangunan negara.

Pada masa sama, penganjuran program berkenaan turut menjadi platform memperkukuh hubungan strategik antara universiti, sekolah, industri dan komuniti melalui aktiviti yang menggabungkan elemen pendidikan, kesihatan dan kelestarian.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM, Prof. Ts. Dr. Hj. Norinsan Kamil Othman; Pendaftar UKM,  Zanudin Mohd Daud; Pro Naib Canselor Strategi dan Kelestarian, Prof. Datuk Dr. Roslee Rajikan.

Photo credit: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Editor Kampuskini.my avatar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *